Pencarian Roney di sungai dihenti

Pencarian Roney di sungai dihenti

LIMBANG, 8 Sept – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Limbang mengadakan persetujuan dengan pihak berkuasa Brunei untuk menutup operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa hilang warga Brunei di Sungai Pandaruan pada jam 4.30 petang semalam.

Ketua Bomba Zon Limbang Bonny Martin Saging Mato berkata persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat bersama Polis Diraja Brunei, Penguasa Bomba Brunei, Polis Marin Brunei, Polis Hutan Brunei, JBPM Limbang, Polis Limbang dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Limbang.

Beliau berkata dalam mesyuarat sama juga, mereka bersetuju untuk menukar kes orang lemas diklasifikasikan sebagai orang yang hilang.

“Operasi mencari orang hilang akan diteruskan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Diraja Brunei,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Jelas beliau lagi turut hadir dalam mesyuarat yang diadakan di Balai Polis Daerah Temburong pagi semalam adalah salah seorang ahli keluarga mangsa.

MASIH HILANG...Muhammad Roney Hakimi bin Abdullah Layang.
MASIH HILANG…Muhammad Roney Hakimi bin Abdullah Layang.

Bonny berkata lagi, pihaknya dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Brunei akan bersedia di balai masing-masing sekiranya ada aduan dari orang awam atau pihak keluarga mangsa yang akan meneruskan pencarian.

“Kita juga akan memberi respons sekiranya terdapat petunjuk mangsa dijumpai di sebelah sempadan Malaysia,” katanya lagi.

Dalam kejadian 30 Ogos lepas, mangsa, Muhammad Roney Hakimi bin Abdullah Layang dilaporkan hilang di Sungai Pandaruan.

Mangsa yang juga dikenali sebagai Tam, berusia 34 tahun menetap di Kampung Selapoh, Temburong masih gagal ditemui sehingga kini.

Sebelum ini operasi  pencarian dibahagi kepada tiga sektor iaitu sektor A, rondaan di kawasan sekitar tempat kejadian dalam radius 1 kilometer, Sektor B di sepanjang hilir Sungai Pandaruan dan Sektor C pencarian di hulu sungai tersebut.

Operasi SAR diketuai Pegawai Bomba Kanan Dua, Mohamad Ali Mohd Salleh dan seramai tiga anggota menggunakan Scania dan sebuah bot aluminium bagi membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Negara Brunei Darussalam.

Agensi Lain yang terlibat dalam SAR ialah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), penduduk kampung di Daerah Temburong, Bomba  & Polis Brunei (30 Orang). – Arissa