Pence dibawa ...

Pence dibawa tinjau masjid di Indonesia

JAKARTA, 20 April – Timbalan Presiden Amerika Syarikat (AS), Mike Pence hari ini dibawa meninjau ke masjid terbesar di Indonesia, negara yang mempunyai umat Islam terbesar di dunia itu, ketika satu lawatan yang dilihat sebagai bidaan daripada pentadbirannya untuk memulihkan perpecahan dengan dunia Islam.

Selepas memulakan perhentiannya di Indonesia dengan memuji negara yang mengamalkan kesederhanaan Islam itu sebagai ‘satu inspirasi’, beliau mengunjungi Masjid Istiqlal, yang luasnya sehingga boleh memuatkan 200,000 jemah dengan menara kubah putih dapat dilihat di perbandaran Jakarta.

Beliau membuka kasutnya sebelum diiringi masuk ke dalam masjid, yang juga masjid terbesar di Asia Tenggara, dengan ditemani oleh isteri dan dua anak perempuannya yang menyarungkan tudung kepala, dan Imam Besar Istiqlal, Nasaruddin Umar.

Lawatannya itu mewakili pendekatan berprofil paling tinggi kepada orang Islam daripada pentadbiran Donald Trump sejak jutawan itu menjawat jawatan sebagai presiden dan meniru lawatan serupa daripada Barack dan Michelle Obama pada 2010.

Sejak menjadi presiden hampir 100 hari lalu, Trump telah menerima beberapa pemimpin dari negara-negara Islam seperti Jordan, Iraq, Arab Saudi dan Mesir.

Mike Pence (dua, kanan) ketika dibawa meninjau Masjid Istiqlal di Jakarta pada 20 April. – AFP
Mike Pence (dua, kanan) ketika dibawa meninjau Masjid Istiqlal di Jakarta pada 20 April. – AFP

Namun pentadbirannya juga cuba untuk mengharamkan pengunjung dari negara majoriti Islam, memetik kebimbangan tentang pengganasan – satu usaha yang pada masa ini dicabar dalam mahkamah AS.

Namun Pence menunjukkan nada yang jelas berbeza semasa lawatannya ke Indonesia, yang sering dipuji sebagai demokrasi Islam yang berjaya di mana kebanyakannya mengamalkan bentuk sederhana Islam dan hidup aman makmur bersama dengan minoriti agama lain.

“Indonesia, yang mengamalkan Islam secara sederhana terus terang dikatakan sebagai inspirasi dunia dan kami memuji anda dan rakyat anda,” katanya selepas mengadakan rundingan bersama Presiden Joko Widodo di istana presiden di Jakarta.

“Di negara anda seperti di negara saya agama bersatu, ia tidak berpecah belah.” – AFP