Penceramah bebas mengaku sokong perbuatan pengganas

Penceramah bebas mengaku sokong perbuatan pengganas

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) – Seorang penceramah bebas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, Khamis terhadap pertuduhan memasuki Syria bagi menyokong perbuatan pengganas, tahun lepas.

Zulqarnain Ghaz Ab Ghani, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Kamardin Hashim.

Mengikut pertuduhan, Zulqarnain Ghaz didakwa memasuki Syria bagi memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas yang melibatkan penggunaan senjata api dengan niat untuk meneruskan perjuangan agama bagi menggugut orang awam di negara itu.

Zulqarnain Ghaz Ab Ghani dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mengemukakan representasi bagi mengkaji semula pertuduhan terhadapnya.
Zulqarnain Ghaz Ab Ghani dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mengemukakan representasi bagi mengkaji semula pertuduhan terhadapnya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 27 April 2014 dan 28 Ogos 2014 mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau sehingga 30 tahun atau denda dan rampasan harta yang digunakan bagi tujuan keganasan tersebut jika sabit kesalahan.

Hakim Kamardin menetapkan 9 Okt ini untuk hukuman selepas membenarkan permohonan itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hazrin Alif Wahab.

Pada 4 Ogos lepas, Zulqarnain dihadapkan di Mahkamah Majistret Ampang atas pertuduhan itu, namun tiada pengakuan direkodkan.

ARTIKEL YANG SAMA