Penceroboh trek litar F1 Singapura kena dakwa

Penceroboh trek litar F1 Singapura kena dakwa

SINGAPURA, 22 Sept (Agensi) – Seorang warga British yang memasuki trek ketika pertengahan perlumbaan Grand Prix Formula Satu Singapura pada hujung minggu lepas dikenakan dakwaan di mahkamah hari ini.

Yogvitam Pravin Dhokia, 27, ditahan oleh polis Singapura kerana tindakan yang menceroboh trek di Litar Marina Bay Street.

Menurut kertas pertuduhan, tindakan Dhokia itu “membahayakan keselamatan para pelumba”. Dia dikenakan dakwaan di bawah Seksyen 336 (a) Kanun Keseksaan, Bab 224.

Ikat jamin ditetapkan sejumlah S$15,000 dan pasportnya ditahan. Apabila diberitahu mengenai jumlah ikat jamin, Dhokia memberitahu Hakim Daerah Ronald Gwee: “Ikat jamin S$15,000 terlalu tinggi bagi saya. Buat masa ini saya tidak bekerja. Saya membelanjakan semua simpanan untuk tiket penerbangan. Saya tidak mempunyai wang sejumlah itu.”

Hakim kemudian membenarkan permintaannya untuk membuat panggilan telefon kepada pihak yang tidak diketahui.

Yogvitam Pravin Dhokia ketika dibawa ke mahkamah dan dikenakan dakwaan di bawah Seksyen 336 (a) Kanun Keseksaan, Bab 224.
Yogvitam Pravin Dhokia ketika dibawa ke mahkamah dan dikenakan dakwaan di bawah Seksyen 336 (a) Kanun Keseksaan, Bab 224.

Jurucakap Suruhanjaya Tinggi British di Singapura kemudian memberitahu Channel NewsAsia: “Kami bersedia menyediakan bantuan konsul.”

Rakaman CCTV yang dikeluarkan beberapa jam selepas perlumbaan pada malam Ahad lepas menunjukkan dia memasuki kawasan trek melalui pagar.

Dhokia kemudian melintasi trek sebelum memanjat semula halangan yang ada situ.

Tindakannya menyebabkan kereta keselamatan dikerahkan dan sekurang-kurangnya seorang pelumba, pemenang tempat kedua Daniel Ricciardo dari pasukan Red Bull, berkata tindakan menceroboh oleh lelaki itu menjejaskan keputusan perlumbaan.

Pemandu Ferrari, Sebastian Vettel memenangi perlumbaan berkenaan.

Dhokia pada pada ini ditahan reman dan kes berkenaan ditunda kepada dua minggu lagi dengan perbicaraan akan datang adalah pada 6 Oktober depan dan dakwaan baru mungkin dikenakan ke atas beliau.