Pencerobohan Lahad Datu: 20 Jun tarikh tentatif keputusan

Pencerobohan Lahad Datu: 20 Jun tarikh tentatif keputusan

KOTA KINABALU, 17 Mei (Bernama) – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan tarikh tentatif 20 Jun ini untuk membuat keputusan berhubung nasib 19 tertuduh dalam kes pencerobohan Lahad Datu.

Hakim Stephen Chung menetapkan tarikh tentatif itu selepas pembelaan menutup kesnya hari ini, setelah memanggil 20 saksi merangkumi tempoh 24 hari sejak 25 Febrauri. Beliau turut menetapkan 10 Jun ini untuk mendengar penghujahan oleh kedua-dua pihak.

Pendakwaan memulakan kesnya pada 6 Januari 2014 dengan 30 individu – 27 warga Filipina dan tiga lelaki tempatan – berdepan pelbagai pertuduhan yang mempunyai kaitan dengan pencerobohan bersenjata di Kampung Tanduo di Lahad Datu pada Februari 2013.

Pendakwaan memanggil 166 saksi sepanjang 239 hari prosiding berlangsung yang berakhir pada 5 Januari. Pada 5 Februari, Chung memerintahkan 19 daripada 30 tertuduh untuk membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie. Bagaimanapun, pada 23-24 Februari, 9 daripada 19 tertuduh itu memilih untuk mengaku bersalah, bagaimanapun hakim menangguhkan hukuman sehingga pembelaan menutup kesnya.

Empat daripada sembilan tertuduh itu masing-masing berdepan dua pertuduhan – melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan menjadi anggota sebuah kumpulan pengganas – bagaimanapun hanya mengaku bersalah terhadap pertuduhan menganggotai kumpulan pengganas.