Pencipta e-mel meninggal dunia pada usia 74

Pencipta e-mel meninggal dunia pada usia 74

WASHINGTON, 7 Mac (AFP) – Ray Tomlinson, pengatur cara Amerika Syarikat (AS) yang diberi pujian kerana mencipta e-mel pada tahun 1970-an dan memilih simbol ‘@’ bagi sistem mesej, meninggal dunia pada usia 74 tahun, menurut majikannya kelmarin.

Tomlinson mencipta mesej elektronik langsung pada 1971. Sebelum ciptaannya, para pengguna hanya menulis mesej kepada yang lain dalam rangkaian yang terhad.

“Ray adalah perintis teknologi sebenar, lelaki yang memperkenalkan e-mel pada awal-awal kemunculan komputer rangkaian,” kata majikannya, kontraktor pertahanan dan gergasi elektronik Raytheon dalam satu kenyataan.

“Hasil kerjanya merubah cara dunia berkomunikasi dan masih lagi, bagi pencapaiannya itu, dia kekal merendah diri, baik dan murah hati dengan masa dan bakatnya, dia akan dirindui semua orang.”

Seorang jurucakap syarikat mengatakan Tomlinson meninggal dunia pada Sabtu, dan punca kematian masih belum dapat dipastikan.

Gambar fail yang diambil pada 22 Oktober 2009 menunjukkan Raymond Samuel Tomlinson tiba untuk pembentangan bagi anugerah Prince of Asturias di Oviedo Sepanyol. – AFP
Gambar fail yang diambil pada 22 Oktober 2009 menunjukkan Raymond Samuel Tomlinson tiba untuk pembentangan bagi anugerah Prince of Asturias di Oviedo Sepanyol. – AFP

Apabila Tomlinson mencipta standard ‘user@host’ bagi alamat e-mel, ia digunakan pada ARPANET DARPA, sebuah rangkaian komputer kerajaan AS yang dianggap sebagai pelopor Internet.

Dia adalah yang pertama menggunakan simbol @ dalam cara ini, untuk membezakan pengguna daripada hosnya.

Pada waktu komputer peribadi hampir-hampir belum dikenali, dan kegunaan e-mel peribadi – yang kini menjadi teras komunikasi elektronik – mungkin tidak akan diadaptasi pada skala besar-besaran sehingga 1990-an.

Tomlinson, seorang graduan dari Institut Politeknik Rensselaer dan Institut Teknologi Massachusetts, memperincikan ciptaannya dalam blognya dalam satu percubaan untuk mencegah legenda daripada mengambil kenyataan fakta tersebut.