Pencipta logo ACPA, 3PSA terima hadiah

Pencipta logo ACPA, 3PSA terima hadiah

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Dis – Jabatan Perkhidmatan Pengurusan (MSD), Jabatan Perdana Menteri (JPM), baru-baru ini, telah mengadakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang mereka cipta Logo Anugerah Cemerlang Perkhidmatan Awam (ACPA) dan Logo Program Penggredan Prestasi Sektor Awam (3PSA) Melalui Penarafan Bintang.

Majlis berlangsung di MSD, Bangunan Bahirah, Jalan Menteri Besar, di sini, 3 Disember lalu dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Perkhidmatan Pengurusan, Awang Aminuddin bin Haji Buntar.

Muncul juara bagi Kategori A iaitu mereka cipta logo berserta tagline bagi ACPA ialah Haji Sahari bin Haji Sabli manakala Kategori B iaitu mereka cipta logo bagi 3PSA melalui penarafan bintang dimenangi oleh Pengiran Anuar Husaini bin Pengiran Haji Rambli.

Pemenang setiap kategori menerima hadiah berupa wang tunai sebanyak $1,000 berserta sijil.

Pemenang pertandingan mencipta logo bersama hadiah masing-masing.
Pemenang pertandingan mencipta logo bersama hadiah masing-masing.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, peraduan berkenaan telah dibukakan pada 7 Julai sehingga 7 September lalu, yang mana MSD telah menerima sebanyak 40 penyertaan bagi Kategori A dan 43 penyertaan bagi Kategori B.

Antara objektif peraduan ini adalah untuk mewujudkan tanda (trademark) yang melambangkan identiti ACPA dan 3PSA agar mudah diingati dan dikenal ramai kerana imej (gambaran) mudah dikenal pasti dan diingati berbanding nama, serta untuk mewujudkan semangat baru yang menitikberatkan perkhidmatan yang cemerlang dan berkesan.

Di samping itu, ia juga diadakan untuk menggalakkan penglibatan dan penghayatan serta secara tidak langsung memberi kefahaman dan memperkenalkan ACPA dan 3PSA khususnya kepada warga Perkhidmatan Awam dan orang awam serta untuk turut sama menyumbang ke arah inovasi dalam Perkhidmatan Awam.

ARTIKEL YANG SAMA