Penculik waris taikun dipenjara 12 tahun

Penculik waris taikun dipenjara 12 tahun

HONG KONG, 16 Jun (AFP) – Seorang anggota kumpulan culik yang menculik waris perempuan taikun Hong Kong, bagi mendapatkan wang tebusan berjuta-juta dolar telah dipenjarakan 12 tahun hari ini, selepas apa yang disifatkan oleh hakim ‘pengalaman perit yang dahsyat’ bagi mangsa.

Queenie Rosita Law, cucu perempuan bekas taikun tekstil Law Ting-pong, yang mengasaskan rangkaian pakaian Bossini, telah diculik dari rumahnya di Hong Kong April tahun lalu.

Mangsa berusia 29 tahun itu ditahan di sebuah gua gunung sebelum anggota keluarga membayar wang tebusan HK$28juta bagi mangsa untuk dibebaskan tiga hari kemudian.

Zheng Xingwang, 30 tahun adalah satu-satunya tersangka dalam perbicaraan di Hong Kong dan mengaku bersalah di atas satu pertuduhan secara paksa menahan seseorang dengan niat untuk mendapatkan wang tebusan.

Lapan orang lelaki dihadapkan ke mahkamah di tanah besar China itu, yang mana mereka telah juga mengaku bersalah dan sedang menantikan keputusan perbicaraan.

“Kesalahan menculik adalah jenayah zalim dan kejam,” kata hakim Kevin Zervos ketika dia menjatuhkan hukuman ke atas Zheng di Mahkamah Tinggi bandar itu.

Law dan teman lelakinya sedang tidur di rumah Law yang terletak di kawasan pantai te-nang, Teluk Clearwater, apabila sekumpulan enam orang lelaki China menyerbu rumah itu, mengikat mereka dan menutup mulut mereka dengan pita pelekat, mahkamah mende-ngarkan.

Mereka telah mencuri bara-ngan kemas bernilai HK$3 juta dan wang tunai dari dua peti, selepas memaksa Law memberikan gabungan nombor bagi peti itu.

Mereka kemudian mengikat Law pada salah seorang anggota kumpulan itu dan dia dibawa dengan berjalan kaki menuju ke gua tepi bukit satu jam setengah jauhnya manakala teman lelakinya diarah supaya memaklumkan ayah Law tentang tuntutan wang tebusan.

Zheng telah menyediakan bantuan dan bekalan logistik, mahkamah mendengarkan lagi.