Pencuri bateri dicekup

Pencuri bateri dicekup

Oleh Arissa

 

LAWAS, 1 Julai – Kecekapan seorang pengawal keselamatan yang sedang bertugas menjaga kawasan pembinaan di daerah ini berjaya mencekup seorang lelaki yang sedang mencuri sebuah unit bateri Axevator Hitachi jenama Shogun di kawasan projek pembinaan Hospital Lawas malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.40 malam itu suspek, 21, yang juga penduduk tempatan dan bekerja sebagai buruh kasar ditahan kerana cuba mencuri satu unit bateri Axevator di tempat kejadian.

Kejadian itu menyebabkan mangsa, yang juga Pegawai Keselamatan mengalami kerugian sekitar RM1,000.

Ketua Polis Daerah Lawas DSP Abang Zainal Abidin Abang Ahamad berkata suspek dibawa ke balai polis Lawas untuk siasatan lanjut.

Katanya hasil soal siasat yang dijalankan, anggotanya berjaya merampas beberapa peralatan bagi tujuan mencuri sekitar jam 1 pagi semalam.

Beliau memberitahu satu beg sandang jenama Bar Luis yang mengandungi pelbagai peralatan mencuri dirampas.

“Kita berjaya merampas satu unit bateri Axevator Hitachi jenama Shogun, dan peralatan mencuri seperti pisau lipat, gunting, batang spanar dan peralatan lain yang disimpan dalam beg sandang berkenaan.

“Kesemua barang tersebut dirampas untuk dijadikan sebagai barang kes,” katanya kepada media semalam.

Kata Abang Zainal lagi suspek kini ditahan dan keterangan pengadu serta saksi telah dirakam.

“Hasil soal siasat juga mendapati suspek mengakui terlibat dalam kejadian ini.

“Kertas siasatan akan dilengkapkan sepenuhnya untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya Miri esok,” jelasnya.

Jelasnya lagi suspek akan dituduh di bawah seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencuri komponen kenderaan yang boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.