Pencuri dalam pesawat kena dua bulan

Pencuri dalam pesawat kena dua bulan

Oleh Rafidah Jumat

 

pg10_161012_mahkamah-logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Gara-gara mencuri ketika dalam penerbangan, dua orang lelaki warga China, masing-masing dijatuhi hukuman dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Jiuhui Peng, 40, dan Jun Qin, 28, mengaku bersalah di hadapan Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid kerana mencuri barang kemas dan wang 7 juta rupiah milik salah seorang penumpang RB, dari penerbangan Jakarta ke Brunei pada 25 September 2016.

Jiuhui mengambil kesempatan untuk mencuri ketika hidangan disajikan dalam RB, dengan membuka bahagian letak bagasi atas dan mencuri dari satu beg polo hitam.

Dia kemudian pergi ke tandas pesawat dan diikuti oleh Jun Qin.

Perbuatan mereka yang mencurigakan itu, bagaimanapun, disedari oleh salah seorang daripada pramugara bertugas yang terdahulu terlihat Jiuhui membuka bahagian letak bagasi atas untuk mencari sesuatu.

Kedua-dua mereka diberkas sebaik pesawat mendarat.

Majistret turut menjatuhi hukuman denda $400 ke atas Jun Qin yang menghadapi tuduhan tambahan atas kesalahan melakukan kerosakan pada cermin tingkap bilik operasi Balai Polis Berakas, pada 26 September.

Jika gagal membayar denda itu, dia diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara tambahan selama seminggu.

Siasatan polis mendapati kedua-dua tertuduh berada dalam transit di negara ini, sebelum meneruskan penerbangan ke Hong Kong.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Pengiran Hajah Nor’Azmeena binti Pengiran Haji Mohiddin.

ARTIKEL YANG SAMA