Pencuri dipaksa makan buah pisang

Pencuri dipaksa makan buah pisang

MUMBAI, 11 Jan (AFP) – Polis India berjaya menggunakan teknik luar biasa untuk mendapatkan rantai emas yang telah ditelan oleh seorang pencuri ketika para pegawai memburunya – mereka telah memaksanya makan lebih 40 biji buah pisang.

Lelaki itu menafikan telah meragut rantai itu dari seorang wanita di jalan raya di Mumbai dan menelannya dalam usaha terdesak untuk menyembunyikan jenayahnya minggu lalu, tetapi imbasan sinar-X hospital menunjukkan sebaliknya.

Polis di bandar barat India telah menjalankan enema yang gagal menghasilkan keputusan yang diinginkan.

Para doktor mengatakan pembedahan adalah jalan terbaik, tetapi para pegawai polis mengatakan ia terlalu mahal dan sebaliknya memilih pisang.

“Dia telah diberi makan lebih 40 biji pisang sepanjang hari,” Inspektor Kanan polis Mumbai Shankar Dhanavade memberitahu AFP.

“Akhirnya rantai itu telah ditemui. Kami telah menyuruhnya membersihkannya,” tambah pihak polis.

Lelaki berusia 25 tahun itu muncul di mahkamah Jumaat lalu dan kini dalam tahanan polis, menurut Dhanavade.

Menurut laporan, itu bukan kali pertama polis Mumbai menggunakan buah untuk mendapatkan semula barang curi.

Pada Julai tahun lalu seutas rantai telah didapatkan semula selepas seorang pencuri diarah makan puluhan buah pisang dan minum beberapa liter susu bercampur julap, lapor Hindustan Times.

Beberapa bulan sebelumnya pada bulan April, seorang pencuri telah makan 60 biji buah pisang selepas menelan seutas rantai emas dengan loket besar.

ARTIKEL YANG SAMA