Pencuri kabel dibicara lagi 14 Nov ini

Pencuri kabel dibicara lagi 14 Nov ini

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_151113_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Nov – Dua lelaki, masing-masing warga tempatan dan penduduk tetap, telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini, atas empat pertuduhan mencuri dan melakukan kerosakan terhadap kabel milik TelBru Sdn Bhd.

Muhd Azyre bin Gulkasih, 26, dan Mohammad Azzrul Azzmi bin Abdul Rahman, 22, didakwa mencuri 400 pasang kabel utama di jambatan kerajaan Kampung Saba pada 3 November.

Kedua-dua mereka juga berdepan tuduhan merosakkan 400 pasang kabel itu, yang dianggarkan bernilai $17,870 di tempat dan tarikh yang sama.

Tertuduh juga didakwa mencuri 900 pasang kabel utama dan kabel kedua di jambatan kerajaan Kampung Pekilong Muara pada 3 November dan turut berdepan tuduhan merosakkan kabel-kabel berkenaan yang dianggarkan berharga $13,310.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa kepada hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda, atau kedua-duanya dan juga di bawah Seksyen 427 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa kepada penjara sehingga dua tahun dan sebat tidak kurang daripada dua sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Adri bin Ahmad Zakaria memohon kepada mahkamah supaya kedua-dua tertuduh ditahan reman selama dua hari untuk membantu siasatan.

Majistret Kanan, Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Awang Badaruddin mengarahkan tertuduh ditahan reman di Balai Polis Pusat dan menetapkan 14 November untuk sebutan semula.

ARTIKEL YANG SAMA