Pencuri pecah kereta, motosikal curi ditemui

Pencuri pecah kereta, motosikal curi ditemui

Oleh Arissa

LIMBANG, 20 Jun – Seorang jururawat berdepan detik hitam apabila cermin kereta hadapan tempat duduk penumpang dipecahkan oleh individu tidak dikenali yang melarikan beg tangannya yang diletakkan di tempat duduk penumpang pagi semalam.

Kejadian itu disedari mangsa, 51, selepas habis berjoging sekitar jam 5:45 pagi di Kompleks Sukan sebaik mendapati cermin hadapan penumpang dipecahkan, manakala beg tangannya yang diletakkan di tempat duduk terbabit dilesapkan pencuri.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata antara barangan yang hilang termasuk wang tunai RM30, kad pengenalan dan pelbagai dokumen berharga milik mangsa.

“Mangsa tidak mensyaki mana-mana individu yang terlibat dalam kejadian itu.

“Kita juga sedang mengiat usaha untuk mengenal pasti suspek yang terlibat,” katanya di sini semalam.

RAMPAS..Anggota polis memunggah motosikal yang disyaki dicuri kelmarin.
RAMPAS..Anggota polis memunggah motosikal yang disyaki dicuri kelmarin.
PECAH...Cermin kereta hadapan penumpang yang dipecah pencuri pagi semalam.
PECAH…Cermin kereta hadapan penumpang yang dipecah pencuri pagi semalam.

Mohd Bukhori berkata polis juga menggiatkan rondaan sebelah petang, malam dan awal pagi di beberapa kawasan di bandar ini.

Dalam kes berasingan pula, katanya polis berjaya menemui semula motosikal dipercayai curi dengan tertangkapnya seorang lelaki di sebuah rumah di Kampung Ipai tengah hari kelmarin.

Suspek 37, ditahan oleh sepasukan polis diketuai oleh  Inspektor Mohamad Hairie Awang Akub sekitar jam 12:27 tengah hari.

Mohd Bukhori berkata sebuah motosikal jenis Yamaha berwarna biru hijau dirampas dengan nilai rampasan RM2,000.

“Suspek akan direman esok dan siasatan akan diteruskan untuk mengenal pasti suspek-suspek lain selain mengesan motosikal curi lain di sekitar bandar ini,” katanya di sini semalam.