Pencuri pecah masuk premis makanan segera, kerugian RM30,000

Pencuri pecah masuk premis makanan segera, kerugian RM30,000

LIMBANG, 16 Dis – Seorang pemilik premis makanan segera di sini mengalami kerugian sekitar RM30,000 apabila premis makanannya di pecah masuk pencuri Jumaat lepas.

Kejadian hanya disedari kakitangan premis makanan terbabit ketika memulakan perniagaan jam 7.15 pagi Sabtu lepas.

Mangsa 34, menyedari kunci mangga pintu sliding besi di bahagian dapur di potong sebelum pencuri melarikan pelbagai barangan berharga.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Mohd Bukhori Saffai ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Mohd Bukhori berkata, antara barangan yang dilarikan termasuk peti besi mengandungi wang tunai RM25,000, dekoder Kamera Litar Tertutup (CCTV), lima buah buka cek dan wang tunai RM500 yang disimpan di dalam dompet.

Hasil siasatan awal katanya mendapati pencuri memasuki premis berkenaan dengan memotong kunci mangga pintu sliding besi bahagian dapur sebelum memasuki pejabat di dalam premis berkenaan.

“Rakaman CCTV tidak dapat diperoleh kerana pencuri turut membawa lari dekoder CCTV,” katanya lagi.

Beliau memberitahu setakat ini belum ada tangkapan dilakukan berhubung kes berkenaan. Kes terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 457Kanun Keseksaan (Pecah Rumah Malam Hari).

Dalam kes berasingan seorang remaja ditumbuk di bahagian muka oleh seorang pengurus kedai di Jalan Buangsiul di sini pagi kelmarin. Dalam kejadian jam 6 pagi itu, mangsa 16, yang juga pembantu kedai mengalami sakit di bahagian hidung dan bengkak bibir akibat ditumbuk suspek ketika datang bekerja kelmarin.

Menurut mangsa suspek dikatakan marah dan tidak puas hati kerana mangsa tidak datang bekerja pada Isnin lepas. Satu laporan polis sudah dibuat mangsa petang kelmarin.