Pencuri tong gas kena 14 bulan

Pencuri tong gas kena 14 bulan

Oleh Rafidah Jumat

 

pg10_161013_mahkamah-logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Okt – Seorang lelaki tempatan yang mencuri tong gas telah dijatuhi hukuman 14 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Khanol Zukria bin Alias, 31, mendakwa dia melakukan kesalahan itu kerana tidak mempunyai wang untuk membelikan susu untuk anaknya yang berusia tiga bulan.

Dia melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Tunggulian, Sungai Liang sekitar jam 5:15 petang pada 28 September 2016.

Majistret Azrimah binti Haji Abdul Rahman dalam memutuskan hukuman berkata, mahkamah bersimpati dengan kesusahan hidup yang menimpa tertuduh namun ia bukan satu alasan untuk mendapatkan pengurangan hukuman tambahan lagi tertuduh sebelum ini pernah dijatuhi enam bulan penjara pada 2014 atas kesalahan yang sama.

“Jelas, tertuduh tidak mendapat pengajaran daripada kesilapan lalu,” tegas Majistret.

Fakta kes menyebut, tertuduh pergi ke Sungai Liang untuk mendapatkan nombor telefon pemilik barang-barang buangan daripada seorang lelaki warga India.

Ketika lelaki itu pergi ke bilik tidurnya untuk mendapatkan nombor telefon tersebut, tertuduh mengambil kesempatan pergi ke bahagian dapur dan mencuri tong gas dan meletakkannya di dalam keretanya.

Selepas mendapatkan nombor telefon itu, tertuduh pergi ke kedai dan menjual tong gas itu pada harga $40.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Kamaliah binti Haji Ibrahim.

ARTIKEL YANG SAMA