Pencuri wang masjid disumbat ke penjara

Pencuri wang masjid disumbat ke penjara

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Bekas anggota Bomba dan Penyelamat, telah dijatuhi penjara 26 bulan dan tiga kali sebatan oleh Mahkamah Perantaraan di sini, hari ini, atas pertuduhan mencuri.

Mohammad Amli bin Haji Matayir, 35, mengaku bersalah di hadapan Hakim Pengiran Hajah Hanani binti Pengiran Haji Metussain atas dakwaan cuba mencuri dan mencuri wang tabung sejumlah $20.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Masjid Kampung Kilanas, pada 7 dan 8 Mac 2016 kira-kira jam 9 malam.

Tertuduh dalam rayuannya memberitahu mahkamah, dia melakukan kesalahan itu kerana ingin mendapatkan wang bagi perubatan anaknya yang sindrom down namun alasan itu tidak dapat diterima oleh Hakim Pengiran Hajah Hanani.

Kerajaan negara ini melalui Kementerian Kesihatan memberikan rawatan dan keperluan penjagaan kesihatan percuma kepada warganya yang sindrom down, dan ini termasuk anak tertuduh, kata Hakim Pengiran Hajah Hanani.

Terdahulu, Peguam Bela, Sheikh Noordin yang mewakili tertuduh memohon mahkamah untuk menjatuhkan Perintah Percubaan untuk kliennya berkelakuan baik namun mendapat bantahan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Adri bin Ahmad Zakaria yang mahu tertuduh mendapat hukuman setimpal sebagai pengajaran.