Pencuri wang masjid ditahan

Pencuri wang masjid ditahan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Mac – Cubaan seorang lelaki warga asing untuk meragut beg tangan seorang wanita warga asing gagal apabila orang ramai yang menyaksikan kejadian itu berjaya menangkap dan menyerahkannya kepada pihak polis, kelmarin.

Pasukan Polis Diraja Brunei, dalam kenyataannya hari ini, melaporkan bahawa Balai Polis Berakas telah menerima panggilan mengenai kejadian di kawasan Serusop itu kira-kira jam 7:56 malam.

Menurut kenyataan itu, lelaki berusia 22 tahun terbabit cuba meragut beg tangan mangsa dan melarikan diri, namun seorang orang awam yang terdengar jeritan mangsa dan melihat lelaki terbabit melarikan diri segera mengejar dan berjaya menahannya dengan dibantu orang ramai.

Lelaki terbabit telah diserahkan kepada pihak polis dan siasatan lanjut akan dijalankan ke atas kes itu di bawah Penggal 22 Kanun Hukuman Jenayah Seksyen 379 iaitu curi.

Pasukan Polis Diraja Brunei, dalam kenyataannya, mengucapkan setinggi penghargaan kepada orang ramai yang telah membantu mangsa sehingga tertangkapnya lelaki yang melakukan cubaan curi itu.

Rakaman CCTV telah merakamkan kegiatan curi tersebut.
Rakaman CCTV telah merakamkan kegiatan curi tersebut.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Pasukan Polis Diraja Brunei turut memaklumkan bahawa seorang lelaki tempatan telah ditahan atas tuduhan mencuri wang tabung masjid.

Menurut kenyataan itu, Balai Polis Pusat telah menerima laporan berhubung kecurian di Masjid Kampung Kilanas melibatkan lima tabung di masjid itu, pada 9 Mac lalu.

Melalui rakaman CCTV yang dipasang di masjid tersebut, kejadian berlaku pada 7 dan 8 Mac lalu.

Aduan dibuat oleh pegawai hal ehwal masjid di Masjid Kampung Kilanas melalui maklumat yang diberikan oleh orang awam mengenai seorang lelaki yang berkelakuan mencurigakan berhampiran salah sebuah tabung masjid itu.

Melalui rakaman CCTV yang telah diambil, menunjukkan seorang lelaki telah mencuri wang daripada tabung-tabung tersebut.

Siasatan lanjut telah dibuat berhubung laporan itu dan seorang lelaki tempatan dalam lingkungan umur 35 tahun ditahan kira-kira jam 12:30 tengah malam tadi untuk membantu siasatan di bawah Penggal 22 Kanun Hukuman Jenayah Seksyen 380 iaitu curi dalam bangunan.

Sehubungan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei mengingatkan orang ramai, dalam usaha meningkatkan keselamatan orang awam dan harta benda, CCTV telah pun dipasang di merata tempat seperti masjid-masjid, jalan jalan raya dan juga tempat riadah yang akan membantu siasatan pihak polis jika berlaku sebarang jenayah yang dilaporkan.