Pendaftaran JLPT ditutup 11 Sept ini

Pendaftaran JLPT ditutup 11 Sept ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Sept – Ujian Kecekapan Bahasa Jepun (JLPT) akan diadakan di Universiti Brunei Darussalam (UBD) pada 6 Disember 2015, dan Jawatankuasa JLPT di Brunei Darussalam mengingatkan bahawa tarikh akhir pendaftaran bagi ujian berkenaan adalah pada 11 September ini.

Sehubungan dengan itu, mereka yang berminat untuk menguji kecekapan Bahasa Jepun diingatkan supaya menghantar borang permohonan, yang boleh didapati di Kedutaan Jepun dengan bayaran $5, dan menghantarnya sebelum tarikh tutup ke Bahagian Kebudayaan dan Maklumat kedutaan berkenaan berserta bayaran $30.

Menurut kenyataan Kedutaan Jepun di sini, hari ini, JLPT merupakan ujian penilaian dan pengesahan kecekapan Bahasa Jepun terhadap mereka yang bukan penutur Bahasa Jepun, di mana pada tahun lalu, lebih 594,000 orang menduduki ujian berkenaan di 65 buah negara di seluruh dunia. Ia merupakan ujian Bahasa Jepun terbesar di dunia.

Ujian ini dibahagikan kepada lima peringkat, iaitu N1 bagi keupayaan memahami Bahasa Jepun dalam pelbagai situasi, N2 pula penggunaan dalam situasi harian dan tahap tertentu dalam pelbagai situasi, N3 bagi tahap tertentu dalam situasi harian, manakala N4 pula pemahaman asas dan N5 bagi pemahaman sebahagian Bahasa Jepun asas.

Butiran lanjut mengenai JLPT dan contoh ujian boleh didapati dengan melayari laman sesawang http://www.jlpt.jp/e/index.html.

ARTIKEL YANG SAMA