Pendaftaran makanan import secara online

Pendaftaran makanan import secara online

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Sept – Pendaftaran makanan import bagi makanan berproses akan dapat dibuat melalui dalam talian (online) mulai 6 Oktober ini.

Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan hari ini berkata, pendaftaran makanan sememangnya telah lama dikuatkuasakan di bawah Akta Kesihatan Awam (Makanan) (Penggal 182) dan Peraturan-peraturannya untuk memastikan keselamatan makanan di negara ini dan pematuhan makanan tersebut mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Menurut kenyataan itu lagi, sistem baru ini membolehkan pengimport mendaftar produk makanan mereka pada bila-bila masa tanpa perlu menghantar permohonan mereka secara fizikal ke pejabat. Para pengimport bagaimanapun perlu mendaftar akaun e-Darussalam terlebih dahulu sebelum menggunakan sistem tersebut.

Semua permohonan memerlukan dokumen-dokumen yang diperlukan dimuat naik ke sistem menggunakan format PDF, JPG, docx ataupun doc.

Sistem baru dalam talian itu adalah salah satu usaha untuk mempertingkatkan dan memantapkan kualiti perkhidmatan dan mempercepatkan proses untuk mendapatkan kebenaran di mana permohonan para pengimport akan diberi notifikasi melalui kotak e-mel akaun e-Darussalam mereka.

Melalui sistem ini, tempoh memproses permohonan akan dikurangkan dari 10 hari bekerja kepada tujuh hari sahaja.

Permohonan yang diluluskan akan diberikan nombor rujukan yang mana akan digunakan untuk membuat deklarasi melalui Brunei Darussalam National Single Window (BDNSW) di bawah kawalan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Kementerian Kewangan ketika pengimportan dibuat.

Permohonan melalui sistem tersebut akan dikenakan caj pentadbiran berjumlah $30 bagi satu permohonan pendaftaran makanan import yang dapat dibayar menggunakan kad debit atau kredit (Visa, American Express atau Mastercard).

Sistem ini diperkenalkan hasil kerjasama antara Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri.

Bagi membuat permohonan import makanan, pengimport bolehlah mengakses sistem tersebut melalui laman sesawang www.moh.gov.bn (di bawah Business > Importing Food & Drinks > Food Importation).

Untuk maklumat lanjut mengenai Sistem Pendaftaran Makanan Import ini, pengimport dan orang awam boleh meng-hubungi Bahagian Kawalan Kualiti dan Keselamatan Makanan, Perkhidmatan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan di talian 2382041 atau faks 2381851 atau e-mel: fsqc@moh.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA