Pendaftaran perlumbaan muzium masih dibuka

Pendaftaran perlumbaan muzium masih dibuka

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Julai – Jabatan Muzium-Muzium Brunei dengan kerjasama Armtrix Enterprise masih lagi membukakan penyertaan kepada orang ramai untuk menyertai Perlumbaan Muzium-Muzium Brunei yang akan berlangsung pada Ogos depan.

Acara perlumbaan yang julung-julung kalinya diadakan itu merupakan salah satu aktiviti untuk meraikan sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan Jabatan Muzium-Muzium Brunei yang akan dilaksanakan pada tiga hari Ahad berturut-turut iaitu pada 16, 23 dan 30 Ogos nanti.

Menurut pihak penganjur, pada masa ini terdapat lebih 100 pasukan yang sudah mendaftar untuk menyertai perlumbaan berkenaan di mana perlumbaan itu hanya mengehadkan sebanyak 250 pasukan sahaja untuk mengambil bahagian.

Sehubungan itu, pihak penganjur mengalu-alukan setiap pasukan yang terdiri daripada empat orang yang berminat untuk merebut peluang bagi menyertai perlumbaan unik ini bolehlah membuat pendaftaran di laman sesawang, www.museumsracebrunei.com sebelum tarikh tutupnya pada 10 Julai. Semasa perlumbaan itu, setiap pasukan akan menerokai sejarah dan khazanah Brunei dengan menuju ke galeri-galeri muzium, buku-buku, risalah-risalah dan tapak-tapak bersejarah yang mana mereka harus menyelesaikan teka-teki, mencari barang tersembunyi atau melalui pelbagai aktiviti mencabar sepanjang perlumbaan.

Pendaftaran bagi menyertai Perlumbaan Muzium-Muzium Brunei dilanjutkan sehingga 10 Julai.
Pendaftaran bagi menyertai Perlumbaan Muzium-Muzium Brunei dilanjutkan sehingga 10 Julai.

Perlumbaan itu akan meliputi sebanyak 10 tapak dan bangunan bersejarah di Daerah Brunei Muara dan Daerah Tutong yang mana ia adalah dihasratkan agar orang ramai akan berpeluang untuk mendalami lagi sejarah negara dan mengetahui tapak-tapak bersejarah, pada masa yang sama dapat mengeratkan hubungan persahabatan dan kekeluargaan melalui acara berkenaan.

Acara sebegitu juga salah satu kaedah bagi Jabatan Muzium-Muzium Brunei untuk mengukuhkan lagi hubungan silaturahim dan mendekati masyarakat dalam usaha untuk membudayakan cintakan sejarah serta khazanah negara.

ARTIKEL YANG SAMA