Pendaftaran pertandingan bahas Bahasa Jepun ditutup 26 Jun

Pendaftaran pertandingan bahas Bahasa Jepun ditutup 26 Jun

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Jun – Pusat Bahasa di Universiti Brunei Darussalam (UBD), Bahagian Pendidikan Komuniti (CED) Kementerian Pendidikan, dan Kedutaan Jepun di Brunei Darussalam, akan menganjurkan Pertandingan Bahas Bahasa Jepun ke-29 pada 29 Ogos 2015 di Kampus UBD.

Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, dalam kenyataannya, hari ini, memaklumkan bahawa tarikh akhir penyertaan adalah pada 26 Jun 2015.

Pertandingan ini bertujuan untuk menggalakkan para peserta menunjukkan kefasihan mereka berbahasa Jepun di khalayak awam.

Di samping itu, ia juga merupakan peluang baik untuk meningkatkan persefahaman di antara Brunei dan Jepun yang diharapkan untuk merangsang hubungan lebih baik dalam kalangan rakyat kedua-dua buah negara.

Ia dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu peringkat permulaan, peringkat lanjutan dan terbuka, yang mana peringkat permulaan adalah bagi mereka yang telah belajar Bahasa Jepun kurang daripada dua tahun, sementara peringkat lanjutan pula bagi mereka yang tinggal di Jepun kurang daripada sejumlah dua tahun sejak berusia enam tahun.

Kategori terbuka pula tiada had ke atas tempoh pembelajaran dan menetap di Jepun. Dalam setiap kategori, para peserta bebas memilih tajuk dan subjek tetapi elakkan topik-topik politik, keagamaan dan kontoversi.

Mereka yang berminat boleh memuat turun borang penyertaan dari laman sesawang Kedutaan Jepun dan borang yang lengkap diisi hendaklah dihantar ke kedutaan berkenaan.

JIka terdapat sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi Dayang Noraini di Bahagian Maklumat dan Budaya, Kedutaan Jepun di talian 2229265 atau faks di talian 2229481, atau menghantarkan e-mel ke alamat embassy@japan.com.bn. Atau melayari http://www.bn.emb-japan.go.jp.

ARTIKEL YANG SAMA