Pendaftaran pertandingan hadrah dibuka

Pendaftaran pertandingan hadrah dibuka

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Jan – Jawatankuasa Takmir Masjid Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Kampung Tamoi, hari ini membukakan pendaftaran untuk Pertandingan Hadrah bagi Belia-belia Masjid di Daerah Brunei dan Muara.

Pertandingan bertema Hari Keputeraan Kebawah Duli atau Hari Kebangsaan bersempena dengan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 tahun itu dibukakan kepada pasukan yang berumur 15 tahun ke atas sahaja.

Setiap masjid dibolehkan menghantar dua pasukan hadrah dengan jumlah tidak kurang daripada 10 orang dan tidak melebihi 15 orang.

Dalam pertandingan itu nanti, setiap pasukan dikehendaki membawakan sebuah lagu wajib dengan menggunakan pukulan hadrah asli Brunei iaitu pukulan Unggai dan pukulan Naik, di samping membawakan lagu irama ciptaan sendiri mengikut tema pada tahun ini.

Bagi pasukan yang berminat untuk menyertai pertandingan tersebut, mereka dikehendaki untuk mengisi borang yang boleh diperolehi di Masjid Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, sebelum tarikh tutup penyertaan pada 25 Januari Ini.

Pertandingan itu nanti akan berlangsung di Dewan Serba Guna, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), di mana peringkat saringan akan diadakan pada 31 Januari ini, jam 9 pagi, sementara pertandingan akhir pula akan diadakan pada 6 Mac 2016.