Pendaftaran Ujian Kemahiran Bahasa Jepun tutup 9 Sept ini

Pendaftaran Ujian Kemahiran Bahasa Jepun tutup 9 Sept ini

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Sept – Jawatankuasa bagi Ujian Kemahiran Bahasa Jepun (JLPT) bagi Brunei Darussalam akan mengadakan ujian Bahasa Jepun pada 4 Disember ini di Universiti Brunei Darussalam.

Ujian itu dibukakan kepada pelajar yang mengambil kursus Bahasa Jepun, bekas peserta Pertandingan Pidato Bahasa Jepun dan mereka yang berhasrat untuk belajar di Jepun atau ingin memohon kerjaya antarabangsa adalah dialu-alukan untuk menduduki JLPT yang tarikh tutup pendaftarannya pada 9 September ini.

Borang permohonan boleh diperolehi di Kedutaan Jepun dengan bayaran $5, dan perlu dikembalikan ke Seksyen Kebudayaan dan Maklumat bersama-sama yuran pendaftaran sebanyak $30.

JLPT merupakan ujian bagi bukan penutur asal Bahasa Jepun untuk menilai dan memperakui individu dalam penguasaan Bahasa Jepun mereka.

Pada 2015, kira-kira 750,000 orang menduduki ujian itu di 68 buah negara di seluruh dunia dan JLPT merupakan ujian Bahasa Jepun yang terbesar di dunia.

JLPT ditawarkan dalam lima peringkat iaitu keupayaan untuk memahami Bahasa Jepun dalam pelbagai keadaan, keupayaan untuk memahami bahasa yang digunakan dalam situasi harian dan dalam pelbagai keadaan tahap tertentu, keupayaan untuk memahami Bahasa Jepun yang digunakan seharian untuk tahap tertentu, keupayaan memahami asas Bahasa Jepun dan keupayaan untuk memahami beberapa asas Bahasa Jepun.

Maklumat lanjut mengenai JLPT dan soalan contoh boleh didapati di laman sesawang: http://www.jlpt.jp/e/index.html.