Pendaki Austria mati di puncak Nepal

KATHMANDU, 12 Jan – Seorang pendaki Austria ditemui mati di Himalaya selepas percubaan pendakian berseorangan di gunung yang terletak rantau Everest, Nepal, menurut para pegawai hari ini, kematian pertama sejak undang-undang baru diperkenalkan yang menegah pendakian berseorangan.

Pendaki berusia 41 orang dipercayai meninggal dunia pada lewat Disember lalu selepas terjatuh dari rabung dalam perjalanannya menuju puncak timur Gunung Louche setinggi 6,119 meter, yang berhampiran Gunung Everest.

“Dia meninggalkan pemandunya di kem tinggi dan rancangannya untuk mendaki ke puncak bersendirian. Pemandu itu menanti sehingga pukul dua pagi pada keesokan harinya dan apabila dia tidak kembali, pemandu itu telah pergi ke Kampung Lobuchi dan melaporkan tentang kecemasan itu,” Raju Dong Lama, pengarah Ramdung Expeditions, yang mengaturkan pendakian itu.

Operasi mencari dengan berjalan kaki dan dengan helikopter mengambil masa 10 hari untuk mencari mayat pendaki itu, menurut Lama. Kematian itu adalah yang pertama sejak lewat tahun lalu Nepal memperkenalkan peraturan baru yang menegah pendaki solo dari mendaki gunung-gunung terbesarnya.

Dia dikatakan telah memulakan pendakian sebelum peraturan baru itu diperkenalkan. Menurut kerajaan undang-undang baru bertujuan menjadikan pendakian gunung lebih selamat dan mengurangkan kematian.

“Ini adalah kematian pertama pendaki solo selepas kerajaan menegah pendaki-pendaki solo dari melakukan pendakian gunung. Kami merancang untuk mengambil inisiatif untuk mengenakan tegahan ini dengan ketat demi menyelamatkan nyawa di Himalaya kini,” kata Shanta Bir Lama, pengerusi Pertubuhan Pendakian Gunung Nepal.

Peraturan baru telah mengundang kemarahan pendaki gunung solo etli, yang gemarkan cabaran mendaki berseorangan dan yang mengatakan masalah berpunca dari kemasukan besar ekspedisi komersial yang menarik minat pelanggan yang tidak berpengalaman dan menimbulkan kesesakan yang berpotensi berbahaya di gunung paling tinggi di dunia itu.

Beribu-ribu pendaki gunung pergi ke Nepal, negara yang di situ terletaknya sehingga lapan dari 14 buah gunung di dunia yang ketinggiannya lebih 8,000 meter, setiap musim bunga dan musim luruh apabila cuaca baik mewujudkan keadaan pendakian yang memuaskan. – AFP