Pendaki Britain ditemui maut di Vietnam

Pendaki Britain ditemui maut di Vietnam

HANOI, 9 Jun – Seorang pendaki Britain telah ditemui mati di pergunungan utara Vietnam, menurut pegawai hari ini, enam hari selepas panggilan terdesak dari lelaki berkenaan yang mencetuskan pencarian besar-besaran.

Mayat Aiden Webb berusia 22 tahun telah dikesan oleh pasukan keselamatan di bawah lembah dalam berhampiran Fansipan, pergunungan tinggi Vietnam di lubuk pelancongan Sapa, ketua parti komunis daerah Nguten Trong Hai memberitahu AFP.

“Pekerja penyelamat kami mengesahkan mayat itu adalah seorang lelaki Britain,” katanya.

“Kami akan cuba sedaya upaya dan berharap dapat membawa mayatnya awal pagi Jumaat,” tambah Hai, menjelaskan kawasan itu sukar untuk didatangi.

Webb kali terakhir dihubungi pada Jumaat apabila dia membuat panggilan kepada teman wanitanya dengan mengatakan dia telah terjatuh dan cedera semasa mendaki puncak setinggi 3,143 meter.

Laman Facebook yang diwujudkan oleh keluarganya berkata Webb mengalami ‘cedera di lututnya, luka di tangan dan kehilangan lampunya selepas terjatuh dari air terjun’.

Teman wanitanya ikut serta mengembara ke Vietnam bersamanya namun Webb telah memilih untuk mendaki gunung itu secara sendirian.

Pihak berkuasa Vietnam melancarkan operasi pencarian selepas Webb hilang, mencari di hutan tebal bagi sebarang petanda.

Ayahnya dan bapa saudaranya juga terbang ke sana untuk membantu pencarian itu, menurut laporan media Britain.

Laman Facebook milik Webb menunjukkan dia merupakan pendaki tegar yang sering melakukan pendakian solo. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA