Pendaki tertua Malaysia dijangka tiba di EBC 4 hari lagi

Pendaki tertua Malaysia dijangka tiba di EBC 4 hari lagi

DINGBOCHE, Nepal, 8 April (Bernama) – Pendaki tertua Malaysia, James Lee Chong Meng, 68, yang sedang menyertai misi pendakian Gunung Everest ‘Lions Mount Everest Expedition (MEE) 2016’ dijangka tiba di Kem Induk Everest (EBC) empat hari lagi.

Lee berkata untuk ke EBC perlu berjalan sejauh kira-kira 22 kilometer dari Dingboche.

“Dalam perjalanan menuju ke EBC kami akan bermalam di dua perkampungan iaitu Lobuche (4,910 meter) dan Gorakhshep dengan ketinggian 5,140 meter dari paras laut sebelum tiba di EBC.

“Untuk hari ini saya akan bermalam di Dingboche selama satu malam sebelum meneruskan perjalanan ke Lobuche pada esok pagi yang mengambil masa kira-kira empat jam,” katanya kepada wartawan Bernama yang mengikuti ekspedisi ini.

Lee berkata dia akan bertolak ke Lobuche pada 9 pagi esok (waktu tempatan) sebelum meneruskan perjalanan ke Gorakhshep seterusnya ke EBC.

James Lee Chong Meng (depan) bersama pendaki Lions Club Desmond Tee meneruskan pendakian hari kedua ke Namche Bazar sempena Ekspedisi Lions Mount Everest Expedition (MEE) 2016 pada 6 April. – Bernama
James Lee Chong Meng (depan) bersama pendaki Lions Club Desmond Tee meneruskan pendakian hari kedua ke Namche Bazar sempena Ekspedisi Lions Mount Everest Expedition (MEE) 2016 pada 6 April. – Bernama

“Selain itu, perjalanan ke EBC juga amat mencabar kerana laluan ke EBC terpaksa melalui lembah yang berbahaya dan jalan gunung yang licin kerana keadaan di atas sana sentiasa lembap, “ katanya.

Lee juga menambah oksigen juga semakin nipis apabila tiba di EBC, menyebabkan seseorang itu cepat penat dan sukar bernafas.

Menurutnya, apabila seseorang itu berada di tempat paling tinggi seperti EBC yang terletak dengan ketinggian 5,360 meter dari paras laut kemungkinan untuk diserang penyakit akut gunung (AMS) adalah tinggi.

“Bila kita berada di tempat tinggi seperti EBC, kita perlu berjalan perlahan berdasarkan kemampuan kita. Kemungkinan untuk merasai simptom AMS adalah cepat,” katanya dan menambah latihan intensif yang dilaluinya sebelum ini telah membuatnya bersedia dari segi fizikal dan mental.

Ditanya mengenai keadaan cuaca di EBC, Lee berkata suhu di EBC amat sejuk dan boleh jatuh sehingga mencecah negatif kosong hingga tujuh, tetapi bergantung kepada keadaan angin dan cuaca di atas sana.

Dalam pada itu, Lee berkata setakat ini pasukan pengiring Lions MEE dan wakil Bernama telah berjalan sejauh 43 kilometer dari Lukla sehingga ke Dingboche.

“Pelbagai cabaran yang kami tempuh untuk ke Dingboche dengan melalui beberapa perkampungan yang terletak pada ketinggian 3,000 meter ke atas antaranya Namche Bazar dan Phamboche,” katanya.

Bekas jurutera ini mempunyai pengalaman lebih 20 tahun mendaki gunung antaranya Gunung Kinabalu, Gunung Rinjani di Indonesia, Gunung Fuji di Jepun dan Gunung Ama Dablam di Nepal.

Beliau memulakan impian menakluki Gunung Everest setinggi 8,848 meter sejak 31 Mac dan dijangka mencapai misinya dalam masa 70 hari.

Turut menyertai pasukan pendakian ialah dua sherpa profesional iaitu Ngaa Tenji, 33, dan Ang Temba, 44.

Dua pendaki Sherine Leong, 40, dan Desmond Lee, 56, turut menyertai Lee untuk ke kem bawah gunung.

Bernama selaku media rasmi ekspedisi menghantar tiga wakil iaitu wartawan Muhammad Afiq Mohd Asri, 25, jurukamera TV Bernama, Fazril Amirul, 23, dan jurufoto Zulfadhli Zulkarnain, 23.

ARTIKEL YANG SAMA