Pendakian Everest disambung minggu depan

Pendakian Everest disambung minggu depan

KATHMANDU, 30 April – Pendakian ke kemuncak Gunung Everest akan disambung semula minggu depan meskipun runtuhan berpunca gemba bumi yang menyebabkan 18 orang maut di kemuncak tertinggi dunia itu, menurut pegawai kerajaan Nepal hari ini.

Runtuhan pada Sabtu lepas meranapkan pangkalan kem turut memusnahkan tangga di laluan berbahaya jatuhan ais Khumbu di puncak gunung, meningkatkan kesangsian mengenai masa depan musim pendakian tahun ini. Bagaimanapun ketua jabatan pelancongan Tulsi Gautam menasihatkan para pendaki daripada menghentikan ekspedisi mereka, sambil berkata kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan.

“Tangga-tangga akan diperbaiki dalam tempoh dua hingga tiga hari dan pendakian akan diteruskan, tiada sebab untuk sesiapa menghentikan ekspedisi mereka,” Gautam memberitahu AFP.

Kira-kira 800 pendaki berada di kawasan pergunungan apabila runtuhan menggegarkan seluruh pangkalan kem, menyebabkan 18 orang maut dan sejumlah besar cedera.

Runtuhan itu berpunca gempa bumi kuat yang memusnahkan Nepal dan menyebabkan lebih 5,500 orang meninggal dunia.

Pasukan kecemasan menggunakan beberapa buah helikopter untuk memindahkan mereka yang cedera teruk dari pangkalan kem, sementara sejumlah besar yang terperangkap di bahagian hampir kemuncak Everest turut diselamatkan. Gautam turut berkata kerajaan pada minggu ini mengadakan rundingan dengan para pendaki dan juru pandu yang berkata mereka masih berhasrat untuk meneruskan pendakian. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA