Pendakwa raya mahu Sarkozy dibicarakan

Pendakwa raya mahu Sarkozy dibicarakan

PARIS, 6 Sept – Pendakwa raya mencadangkan bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy dibicarakan berhubung dakwaan pembiayaan haram untuk kempen, kata sumber perundangan hari ini, tuduhan itu memberi tamparan besar terhadap cubaannya untuk dipilih semula tahun depan.

Sarkozy, 61, yang menjadi presiden antara 2007 hingga 2012, menyaksikan kedudukan undiannya meningkat baru-baru ini selepas mengambil pendekatan tegar berkaitan isu Islam dan pendatang susulan pembunuhan beramai-ramai menggunakan trak di Nice Julai lalu yang menyaksikan 86 maut.

Kes pembiayaan kempen itu, satu daripada beberapa siasatan yang membelenggu Sarkozy sejak meninggalkan jawatannya, membabitkan dakwaan perakaunan palsu digunakan untuk melindungi perbelanjaan berlebihan kempen pada 2012 oleh pejabatnya.

Reaksi Nicolas Sarkozy (tengah) semasa berada di kem musim panas parti politik “Les Republicains” (LR) Ahad lalu di La Baule, barat Perancis. – AFP
Reaksi Nicolas Sarkozy (tengah) semasa berada di kem musim panas parti politik “Les Republicains” (LR) Ahad lalu di La Baule, barat Perancis. – AFP

Peguam Sarkozy, Thierry Herzog, memberi reaksi terhadap cadangan perbicaraan oleh pihak pendakwaan, menolak perkembangan itu sebagai satu “pergerakan baharu politik murahan” yang tidak mampu bertahan.

“Siasatan selama dua tahun menunjukkan Sarkozy tidak terbabit dalam isu itu,” kata Herzog dalam satu kenyataan.

Majistret perlu memutuskan untuk mengadakan perbicaraan atau tidak, dengan satu keputusan mungkin selewat-lewatnya hujung bulan ini, ketika parti sayap kanan Republikan bersedia memilih calon presidennya. – AFP