Pendakwah kena dakwa rekrut IS

Pendakwah kena dakwa rekrut IS

LONDON, 6 Ogos – Polis British semalam mendakwa pendakwah berprofil tinggi UK, Anjem Choudary kerana berusaha mendapatkan sokongan bagi kumpulan Negara Islam (IS) melalui ceramah dan media sosial.

Pendakwa berusia 48 tahun itu, yang kertap ditemu ramah oleh media British dan Amerika Syarikat mengenai pandangannya berhubung Islam dan Timur Tengah, mempertahankan ketidakbersalahannya di mahkamah dalam ucapan selama 20 minit menggariskan hasratnya untuk tidak mengaku bersalah.

Beliau dan lelaki kedua, Mohammed Mizanur Rahman, 32, muncul di Mahkamah Majistret Westminster di London dengan dikenakan satu dakwaan berlawanan dengan Seksyen 12 Akta Pengganasan 2000.

“Kami menyimpulkan bahawa terdapat bukti kukuh dan ia adalah atas kepentingan awam untuk mendakwa Anjem Choudary dan Mohammed Rahman kerana berusaha mendapatkan sokongan bagi kumpulan IS yang dikategorikan sebagai pertubuhan pengganas,” kata Sue Hemming, Ketua Memerangi Pengganasan dan Jenayah Khas di Perkhidmatan Pendakwaan Crown.

“Adalah didapati bahawa Anjem Choudary dan Mohammed Rahman mendapatkan sokongan bagi IS ketika berceramah yang kemudiannya diterbitkan secara dalam talian.”

Gambar fail bertarikh 14 September 2012 menunjukkan Anjem Choudary ketika berucap di depan para pembantah di luar Kedutaan Amerika Syarikat di bahagian tengah London. – AFP
Gambar fail bertarikh 14 September 2012 menunjukkan Anjem Choudary ketika berucap di depan para pembantah di luar Kedutaan Amerika Syarikat di bahagian tengah London. – AFP

Choudary, bekas peguam kelahiran London dan berketurunan Pakistan yang mewakili diri sendiri di mahkamah dengan cekap memberikan hujah pada perbicaraan tersebut.

Tempat duduk wakil media penuh sesak tatkala pendakwa raya memberitahu mahkamah bahawa Choudary menggunakan media sosial untuk menggalakkan sokongan ke atas IS.

Choudary adalah bekas ketua kumpulan Islam4UK atau al-Muhajiroun di Britain, sebuah kumpulan yang menggesa bagi pelaksanaan undang-undang Islam di Britain yang diharamkan di bawah undang-undang memerangi pengganas pada 2010.

Beliau dan Rahman kelihatan enggan berdiri tatkala ketua majistret Howard Riddle meninggalkan mahkamah. Kedua-dua mereka diberkas pada 25 September tahun lepas. – AFP