Pendapatan Fiskal China Meningkat Sebanyak 14.4 Peratus Dalam April

Pendapatan Fiskal China Meningkat Sebanyak 14.4 Peratus Dalam April

BEIJING, 13 Mei (Bernama) – Pendapatan fiskal China meningkat sebanyak 14.4 peratus dari tahun ke tahun kepada 1.55 trilion yuan (US$238.8 bilion) pada bulan April, lapor agensi berita Xinhua.

Dalam tempoh empat bulan pertama, hasil fiskal telah naik sehingga 8.6 peratus kepada 5.44 trilion yuan, katanya dengan memetik data daripada Kementerian Kewangan hari ini.

Pertumbuhan ekonomi China berkembang sebanyak 6.7 peratus dari tahun ke tahun pada suku tahun pertama, lebih perlahan berbanding suku sebelum ini.

Bagi menghadapi cabaran ekonomi, China telah melakukan reformasi dari segi penawaran, ia juga membuat pemotongan cukai untuk mengurangkan kos perniagaan, bagaimanapun ini memberikan kesan ke atas pertumbuhan hasil.

“Asas untuk pertumbuhan hasil kekal tidak stabil berikutan tekanan ke atas pertumbuhan China masih wujud dan penstrukturan ekonominya terus berhadapan dengan cabaran,” kata kementerian itu.

Selepas diperincikan, kerajaan pusat mengumpul sebanyak 644.3 bilion yuan hasil fiskal, naik 2.4 peratus dari tahun ke tahun, manakala hasil fiskal kerajaan tempatan berkembang sebanyak 24.7 peratus kepada 908 bilion yuan.

Menurut Xinhua, disebabkan peningkatan dalam pasaran perumahan di bandar-bandar utama, cukai perniagaan hartanah telah naik sebanyak 11 peratus dari tahun ke tahun kepada 31.5 bilion yuan, cukai untuk sumber asli jatuh sebanyak 23.5 peratus berikutan kelembapan harga minyak mentah dan arang batu.

Dalam April, perbelanjaan fiskal tumbuh sebanyak 4.5 peratus untuk mencecah 1.31 trilion yuan, melonjakkan perbelanjaan untuk tempoh Januari-April kepada 5.1 trilion yuan, naik sebanyak 12.2 peratus dari tahun ke tahun.

Ia telah mengurangkan tekanan akibat kelembapan pertumbuhan hasil dan mengimbangkan keperluan dasar fiskal yang proaktif bagi menyokong pertumbuhan, China merancang untuk meningkatkan nisbah defisit kepada keluaran dalam negara kepada tiga peratus dalam tahun ini berbanding 2.3 peratus pada tahun 2015.

ARTIKEL YANG SAMA