Pendapatan lumayan hasil ternak puyuh

Pendapatan lumayan hasil ternak puyuh

SIMUNJAN, 15 Julai – Ketika Rizqi Barakah Agro Ternak mula beroperasi sekitar tahun 2011, ladang bersepadu berkenaan menumpukan kepada penternakan kambing boer dan burung walit.

Namun sejak sembilan bulan lalu suasana di ladang seluas 1.6 hektar di Kampung Pantong Melayu, dekat sini semakin ‘meriah’ dengan 7,000 ekor puyuh, dan 2,700 induk puyuh, projek terbaru ladang itu.

Pemilik ladang, Syazwina Sheela Zainul Abidin, 30, berkata beliau sentiasa mencari peluang terbaik untuk memanfaatkan potensi ladang yang boleh memberi pendapatan berterusan.

Kini usahawan tani muda ini sudah boleh berbangga apabila menjadi antara pembekal utama telur dan daging puyuh di negeri ini.

Syazwina berkata ladang berkenaan menternak puyuh baka Institut Kemahiran Ternakan Ayam (IKTA) Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor.

Katanya selain cepat membesar untuk tempoh 24 hingga 25 hari penternakan, tekstur daging baka IKTA lebih lembut.

“Daging puyuh bersih yang sudah siap dibuang organ dijual pada harga RM22 sekilogram dan kami berupaya memasarkan kira-kira 400 kilogram sebulan.

“Telur puyuh 1set (15 biji) dijual pada harga RM4 satu set,” katanya kepada Bernama.

Rizqi Barakah Agro Ternak, syarikat 100 peratus milik Bumiputera kini mempunyai ejen pemasaran di Kuching, Samarahan, Sri Aman dan Miri serta di Kuala Lumpur.

Produk puyuh Rizqi Barakah juga boleh diperolehi di Pusat Pameran dan Jualan Produk Tempatan Sarawak Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuching.

Selain ejen pemasaran, Rizqi Barakah juga menggunakan medium media sosial iaitu Facebook untuk memasarkan produk mereka.

Syazwina berkata dia menceburi bidang perternakan puyuh selepas dicadangkan oleh seorang rakan.

“Saya mengikuti kursus perternakan puyuh anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) Bintulu dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri.

Syazwina berkata semasa mengikuti kursus tersebut, beliau didedahkan secara terperinci kaedah perternakan puyuh yang betul selain melakukan penyelidikan pasaran mengenai peluang dalam bidang berkenaan.

Melihat potensi besar puyuh, Syazwina yang dibantu ibu dan bapanya serta tiga pekerja kini bekerjasama dengan Jabatan Pertanian Negeri untuk melaksanakan projek rumah sembelihan dan sijil halal untuk memudahkan masuk pasaran Brunei dan Singapura. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA