Pendapatan penjual bunga di Kundasang merosot

Pendapatan penjual bunga di Kundasang merosot

RANAU, 26 Julai (Bernama) – Hasil pendapatan penjual bunga di Kundasang yang terletak di kaki Gunung Kinabalu di sini merosot sejak gempa bumi melanda daerah ini bulan lepas.

Jasni Sabirin, 40 dari Kampung Dumpiring Atas dekat sini berkata ini berikutan kekurangan pelancong yang datang ke daerah ini.

“Selepas gempa bumi itu, keadaan di sini lengang. Tiada pelancong yang singgah untuk membeli bunga.

“Pendapatan saya menjual bunga telah merosot dari RM500 sehari kepada RM40 hingga 50 sehari,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini.

Jasni, yang menjalankan perniagaannya itu sejak lima tahun lalu, menjual pelbagai jenis bunga seperti bunga ros, daisi dan kekwa yang sentiasa mendapat sambutan daripada pelancong dalam dan luar negara.

Sementara itu, Siti Jinah Ghani, yang berusia 54 tahun, dari Kampung Cintamata di sini juga mengakui hasil pendapatannya daripada menjual bunga terjejas sehingga beliau terpaksa menutup gerai bunganya di Pekan Kundasang selama seminggu sejak gempa bumi itu berlaku.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana masih boleh berniaga sayur yang sedikit sebanyak dapat membantu pendapatan keluarganya.