Pendatang Ame...

Pendatang Amerika Syarikat bersedia hadapi pengusiran

LOS ANGELES – Adriana bersedia untuk menghadapi senario paling teruk: pengusiran. Dia telah cuba untuk memikirkan jalan penyelesaiannya tapi dia belum tahu cara untuk memberitahu hal ini kepada anak-anaknya yang takut akan kehilangannya. Ibu kepada tiga orang anak yang dilahirkan di Mexico itu telah mula membuat persediaan selepas membaca satu risalah dari sekolah anaknya di kawasan kejiranan Los Angeles yang didiami oleh banyak Hispanik tanpa izin.

Ia memberikan informasi jika terjadinya kecemasan yang melibatkan imigresen. Ia merupakan ancaman yang menjadi kerisauan sejak Donald Trump dilantik menjadi presiden dan berjanji untuk mengusir 11 ribu orang yang datang ke negara itu secara haram. Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Trump, John Kelly berkata bahawa dia bersedia untuk menceraikan ahli keluarga. Ini meningkatkan lagi tekanan dalam kalangan ibu bapa seperti Adriana.

Meskipun pengusiran secara besar-besaran belum terjadi sejak Trump menjadi presiden pada 20 Januari lalu, agensi yang menguatkuasakan undang-undang imigresen telah diberikan kuasa untuk menahan pendatang haram. Jadi, semua orang berada dalam ancaman termasuklah orang yang tinggal di ‘bandar perlindungan’ atau orang yang dilindungi di bawah DACA iaitu polisi dalam era Obama yang menangguhkan pengusiran pendatang-pendatang tanpa izin yang dibawa ke negara itu sejak kecil.

Adriana telah melintasi sempadan ke dalam Amerika Syarikat (AS) bersama-sama ibu bapanya semasa dia baru berumur enam tahun. Meskipun wanita berumur 31 tahun itu kini dilindungi di bawah DACA, dia masih risau. “Kami tidak tahu, (Trump) mampu mengusir kami, dan saya akan kehilangan permit kerja,” katanya.

Adriana telah meminta bantuan dari sepupu-sepupunya warga Amerika untuk menjaga anak-anaknya yang berumur, sembilan, 10 dan 14 tahun sekiranya apa-apa terjadi kepada dirinya dan suaminya yang juga mempunyai permit kerja. “Anak-anak saya tidak tahu. Kami tidak mahu mereka takut,” katanya. Dia tidak mahu pulang ke Mexico kerana baginya, ia bukanlah tanah airnya. “Saya tidak kenal Mexico. Jika saya pergi ke sana, saya akan sesat,” katanya.

Ibu kepada tiga orang anak yang dilahirkan di Mexico itu telah mula membuat persediaan selepas membaca satu risalah dari sekolah anaknya di kawasan kejiranan Los Angeles yang didiami oleh banyak Hispanik tanpa izin. – AFP
Ibu kepada tiga orang anak yang dilahirkan di Mexico itu telah mula membuat persediaan selepas membaca satu risalah dari sekolah anaknya di kawasan kejiranan Los Angeles yang didiami oleh banyak Hispanik tanpa izin. – AFP
Kebanyakan para pendatang telah memasuki Amerika Syarikat untuk cuba memperbaiki taraf kehidupan mereka bersama anak-anak. – AFP
Kebanyakan para pendatang telah memasuki Amerika Syarikat untuk cuba memperbaiki taraf kehidupan mereka bersama anak-anak. – AFP

Peringatan

Adriana panik apabila ejen-ejen imigresen menahan seorang ayah yang menghantar anak perempuannya berumur 13 tahun ke sekolah. Anak perempunnya, Fatima Avelica merakam penangkapan itu dan video tersebut telah tersebar luas dan menyebabkan protes. Ia merupakan peringatan bagi Adriana.

Ejen-ejen itu “melayan ayah saya seperti penjenayah, tapi ayah saya bukan penjenayah,” kata remaja itu kepada AFP. “Dia merupakan pekerja yang rajin, dia datang ke negara ini untuk kami, untuk anak-anaknya, untuk mendapatkan hidup yang lebih baik, dia bukan datang ke sini untuk melakukan perkara jahat. Dia seorang yang sangat baik.” Insiden itu mengejutkan warga sekolah Fatima, Academia Avance yang juga merupakan sekolah anak-anak Adriana dan banyak lagi warga Hispanik.

Socorro, 38, ibu kepada seorang lagi pelajar Avance sangat bimbang. “Kami tidak merasa tenang apabila keluar rumah, kami perlu memeriksa sekeliling,” katanya. Socorro telah tinggal di AS selama 18 tahun dan bekerja sebagai pendandan rambut. Kini, dia bercadang untuk memohonkan pasport Mexico untuk anak-anaknya jadi dia boleh membawa mereka sekiranya dia diusir.

Semenjak dilantik menjadi Presiden AS, Donald Trump berjanji untuk mengusir 11 ribu orang yang datang ke negara itu secara haram. – AFP
Semenjak dilantik menjadi Presiden AS, Donald Trump berjanji untuk mengusir 11 ribu orang yang datang ke negara itu secara haram. – AFP

Pelan kontingensi

Giovani, 38 merupakan pekerja restoran. Anak-anaknya juga bersekolah di Avance. Dia berbincang dengan isterinya mengenai pelan kontingensi sekiranya berlaku hal-hal diluar jangkaan. “Keluarga kami tidak akan bercerai, kami akan pergi ke sana atau sini, tapi kami tidak mungkin dapat diceraikan,” katanya. “Ia mungkin susah bagi anak-anak kami kerana mereka sudah biasa dengan AS, tapi mereka akan dapat membiasakan diri.”

Kerajaan berkata, meskipun mereka mengutamakan penangkapan dan pengusiran pendatang tanpa izin yang mempunyai rekod jenayah, sesiapa saja yang berada di negara itu tanpa izin juga boleh diusir. Penahanan baru-baru ini di Seattle, negara barat laut Washington, Daniel Ramirez Medina yang merupakan penerima DACA merupakan satu contoh kes.

Ejen-ejen imigresen telah memasuki rumah Ramirez untuk menahan ayahnya. Namun, anaknya juga ditahan selepas dia didakwa mengakui bahawa dia merupakan seorang daripada ahli geng. Ramirez yang tidak mempunyai rekod jenayah menafikan perkara itu.

Operasi baru-baru ini di San Jose, California telah melibatkan penangkapan 12 orang ahli geng dan 11 orang pendatang tanpa izin yang tiada rekod jenayah. “Tiada siapa akan tahu. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja,” kata Socorro. Dia berkata anaknya yang berumur 14 tahun tahu apa harus dibuat jika berlaku penangkapan: “Rakam menggunakan telefon bimbit.” – AFP