Pendatang Bangladesh akan dihantar pulang

Pendatang Bangladesh akan dihantar pulang

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Malaysia akan menghantar pulang segera kira-kira 1,000 pendatang warga Bangladesh yang mendarat di Langkawi Isnin lepas, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata mereka akan dihantar pulang sebaik urusan dokumentasi mereka selesai.

Katanya baki 400 pelarian Rohingya yang turut mendarat bersama kelompok warga Bangladesh di pulau tersebut akan diserahkan kepada pihak Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) untuk tindakan lanjut.

“Pendatang Bangladesh tersebut kita akan hantar balik ke negara mereka. Kita tunggu bila urusan dokumen mereka siap, kita terus hantar mereka pulang.

“Sementara baki 400 pelarian Rohingya dari Myanmar akan kita serahkan kepada UNHCR dan terpulang kepada UNHCR untuk bagi mereka kad pelarian atau tidak, termasuk menghantar pelarian itu ke negara ketiga,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Kira-kira 1,400 pendatang Bangladesh dan Rohingya termasuk kanak-kanak dan wanita dilaporkan mendarat di Langkawi menggunakan bot.

Wan Junaidi berkata isu pelarian Rohingya dari Myanmar merupakan tanggungjawab serius yang perlu ditangani kerajaan negara tersebut dan bukan di bawah bidang kuasa Malaysia atau ASEAN.

Menurutnya negara tidak sanggup membiarkan kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) menjadi beban kepada rakyat.

“Kita berdepan lambakan jutaan PATI dalam sektor pekerjaan. Mahukah masyarakat tempatan berdepan dengan masalah pekerjaan, masalah sosial dan pelbagai jenis penyakit yang dibawa pendatang.

“Saya memberi isyarat jelas bahawa pendatang asing tidak dialu-alukan ke negara ini yang mana ini (pelarian Rohingya) adalah masalah Myanmar. Saya nak tahu mana perginya Pemenang Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi yang dianggap jaguh demokrasi negara itu yang dilihat hanya mendiamkan diri dalam isu Rohingya,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA