Pendedahan asas kepada bakal pemimpin pengakap

Pendedahan asas kepada bakal pemimpin pengakap

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mac – Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) menerusi Pasukan Latihan Pengakap Kebangsaan, dalam usaha untuk memastikan bahawa pemimpin-pemimpin pengakap yang baru mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran pengakap yang terkini, mengadakan Kursus Penerangan Am yang berlangsung di Bilik Persidangan, Bangunan Ibu Pejabatnya di Kompleks Pengakap, Jalan Gadong, kelmarin.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh PPNBD, kursus sehari itu dihasratkan untuk memberi pendedahan asas pergerakan pengakap kepada bakal-bakal pemimpin pasukan pengakap dan penolong pemimpin pasukan pengakap.

Ia juga diharap dapat menarik minat pemimpin dan penolong pemimpin pasukan pengakap yang baru lebih aktif dan berpengetahuan dalam menjalankan tugas mereka dalam pasukan pengakap masing-masing.

Seramai 20 orang peserta yang terdiri daripada Pemimpin Pasukan Pengakap, Penolong Pemimpin Pasukan Pengakap dan ahli Pengakap Kelana dari seluruh negara menyertai kursus berkenaan dan menerima sijil masing-masing yang disampaikan oleh Ketua Pesuruhjaya, Haji Badar bin Haji Ali.

Beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada jurulatih dan pembantu kursus berkenaan.

Gambar ramai peserta dan warga kepimpinan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam.
Gambar ramai peserta dan warga kepimpinan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam.

Semasa kursus itu, para peserta didedahkan kepada tujuh sesi tajuk kursus iaitu penerangan mengenai misi dan visi pengakap, tujuan dan kaedah berpengakap serta sejarah pembangunan pengakap.

Selain itu, mereka diberi penerangan khusus kepada pergerakan pengakap kebangsaan, dunia dan strukturnya serta bahagian-bahagian dalam pergerakan pengakap juga skim latihan pemimpin pengakap dan skim anugerah lencana kemajuan dan kecekapan juga isu-isu kemasyarakatan.

Jurulatih-jurulatih pengakap yang turut membantu menjayakan kursus berkenaan ialah Pesuruhjaya Latihan, Awang Junaidi bin Haji Hussin, Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Keagamaan, Haji Othman bin Durani, Ketua Pegawai Eksekutif, Haji Mohd Zali bin Haji Arsad, Pegawai Eksekutif Pengakap, Awang Zainudin bin Haji Ishak, Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Pengakap Remaja, Awang Burhanuddin bin Haji Mohd Daud, Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Penyelidikan dan Perkembangan, Awang Muhammad Arif bin Abdul Hadi, Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Pengakap Tunas, Hajah Noraini binti Haji Saidi dan Pengerusi Persatuan Pengakap Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Mahdi bin Pengiran Haji Mohd Salleh.

ARTIKEL YANG SAMA