Pendedahan awal pupuk amalan menabung

Pendedahan awal pupuk amalan menabung

Oleh Imelda Groves HA & Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Mei – Pendedahan awal dengan pelbagai aktiviti luar sekolah adalah antara beberapa cara untuk mendedahkan para pelajar dengan pengetahuan menabung selain mempelajarinya dalam mata pelajaran MIB (Melayu Islam Beraja) yang sedia ada di sekolah-sekolah.

Perkara ini dipersetujui oleh rata-rata guru yang ditemui semasa Majlis Perasmian Hari Menabung Kebangsaan 2016 yang berlangsung di Dewan Sekolah Rendah Kampung Perpindahan Lambak Kanan, hari ini.

Salah seorang guru dari Sekolah Arab Sungai Akar, Dayang Nurulyana binti Tonggal menjelaskan permainan Interaktif Pengurusan Kewangan amat bagus untuk mendedahkan para pelajar dengan budaya menabung sekali gus dapat menambah pengetahuan mereka di luar sekolah.

“Salah seorang murid di sini menyatakan kepada saya, dia sukakan cabaran dan merasa gembira dan bersemangat untuk mengetahui permainan serta aktiviti yang disediakan oleh institusi yang menyertai kempen ini,” ujar beliau lagi.

Beliau juga menyatakan, walaupun para pelajar telah mempelajari budaya menabung di sekolah melalui pelajaran MIB, namun aktiviti ini juga dapat menambah pengetahuan dan memberikan mereka pendedahan tambahan dalam masa yang singkat.

Yang Berhormat Pehin ketika melawat ke petak-petak pameran di Dewan Sekolah Rendah Kampung Perpindahan Lambak Kanan.
Yang Berhormat Pehin ketika melawat ke petak-petak pameran di Dewan Sekolah Rendah Kampung Perpindahan Lambak Kanan.

SONY DSC

Sementara itu, Dayang Asmahwati binti Haji Yahya dan Dayangku Siti Safoani binti Pengiran Haji Zaidi dari Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pula menyatakan perkara yang sama mengenai pendedahan awal yang diperlukan untuk murid-murid sekolah.

“Aktiviti sebegini menambah pengalaman serta pengetahuan yang sedia ada kerana menabung memberi banyak faedah untuk masa depan,” ujar Dayang Asmahawati.

Dayangku Siti Safoani pula menyatakan, di samping mendedahkan murid-murid kepada perkara baru selain yang dipelajari di sekolah, ia juga mencabar pemikiran para pelajar bagaimana untuk membandingkan harga barangan yang murah dan yang mahal.

“Di samping itu, pendedahan kepada kepentingan menabung juga mampu menanam sikap berjimat cermat dalam kalangan para pelajar,” tambahnya lagi.

Manakala itu, Penolong Pengurus, Pusat Pengurusan Harta, Bank Baiduri, Dayang Siti Aminah binti Haji Abdul Rahman ketika ditemui turut menekankan kepentingan menabung.

Hajah Nurliati ketika menyampaikan ucapan.
Hajah Nurliati ketika menyampaikan ucapan.

Menurutnya, menanam sifat berjimat cermat dan budaya menabung merupakan satu usaha yang boleh membantu generasi berwawasan membangun.

Oleh yang demikian, pihak perbankan memainkan peranan penting sebagai tempat bagi memudah carakan orang ramai untuk berjimat cermat dan menabung.

Beliau turut menekankan bahawa Bank Baiduri sering mengadakan jerayawara dan acara perancangan kewangan dalam tiga peringkat, yang mana bagi peringkat pelajar sekolah rendah, pihak bank mengadakan bermacam jenis permainan yang boleh mencetuskan minat untuk berjimat cermat dan menabung.

“Permainan tersebut akan membuka minda mereka bahawa wang dan gaya hidup sering berkaitan. Dengan itu mereka akan memikirkan betapa susahnya ibu bapa mereka membesarkan mereka,” jelasnya.

Guru-guru yang turut hadir pada majlis berkenaan.
Guru-guru yang turut hadir pada majlis berkenaan.

SONY DSC

Dayang Siti Aminah ketika ditemui Media Permata.
Dayang Siti Aminah ketika ditemui Media Permata.

Peringkat kedua pula untuk pelajar menengah, dengan memperkenalkan ‘Flagship Program Junior Achievement’, di mana pegawai dan kakitangan Bank Baiduri bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk berkunjung ke sekolah-sekolah seminggu sekali bagi memulakan perniagaan. Pada akhir program tersebut, para pelajar akan melihat alam perniagaan yang sebenar.

Manakala itu, bagi peringkat orang dewasa yang sudah mempunyai pekerjaan, mereka memperkenalkan perancangan kewangan, dengan mengajar perkara asas pelaburan yang berkaitan dengan perancangan kewangan, memberi pengetahuan mengenai persaraan dan insurans.

Pelbagai produk kewangan yang boleh menolong orang awam dalam perancangan kewangan juga diperkenalkan pada peringkat ini, tambahnya.

Ditanya mengenai kepentingan pihak perbankan mengadakan majlis berkenaan untuk anak-anak sekolah, Dayang Siti Aminah berkata, “Kami bersetuju dengan perambahan ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Dari peringkat awal inilah kita dapat memberikan idea kepada anak-anak untuk menanam sifat menabung.

“Kami menyokong penuh dari peringkat awal kita mengajar mereka. Semua ini, adalah untuk menyenangkan para pelajar agar mereka faham dan melihat gambaran yang lebih luas dalam perancangan kewangan dan penabungan,” tambahnya.

ARTIKEL YANG SAMA