Pendedahan Dialek Melayu Brunei

Pendedahan Dialek Melayu Brunei

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Sept – Seramai 23 mahasiswa Persatuan Bahasa Melayu (PBM), Universiti Sains Malaysia (USM) bersama dua pensyarah, baru-baru ini, berada di Universiti Brunei Darussalam (UBD) bagi mengikuti Program Penemuan Global yang ditawarkan oleh Pusat Pendidikan Berterusan (CEC), UBD.

Program selama empat hari, dari 2 hingga 5 September, itu diungkayahkan dengan kerjasama Kelab Pendeta Bahasa (KPB), UBD selaku pelaksana program yang bertujuan bagi mengeratkan jalinan kerjasama antarabangsa di antara kedua-dua persatuan di samping mendedahkan para pelajar USM kepada Dialek Melayu Brunei dan budaya masyarakat Brunei.

Bagi merealisasikan objektif lawatan tersebut, seminar yang bertemakan ‘Melestarikan Bahasa, Budaya dan Sastera Melayu’ telah diadakan dengan tujuh kertas kerja telah dibentangkan oleh mahasiswa dan pensyarah dari kedua-dua institusi.

Pensyarah UBD bersama pensyarah USM dalam salah satu program yang diadakan.
Pensyarah UBD bersama pensyarah USM dalam salah satu program yang diadakan.
Gambar ramai rombongan bersama warga UBD.
Gambar ramai rombongan bersama warga UBD.

Di samping itu, rombongan berkenaan juga berpeluang mengadakan lawatan ke sekitar Kampong Ayer, Tamu Kianggeh, Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja, Taman Agro Teknologi dan Dewan Bahasa dan Pustaka, di mana mereka didedahkan mengenai kehidupan masyarakat di Brunei di samping memperkenalkan bahasa, budaya dan masyarakat Brunei.

Malam pertukaran budaya menjadi acara kemuncak yang memperlihatkan mahasiswa-mahasiswi dari kedua-dua kelab mempersembahkan budaya masing-masing.

Dr. Yabit Alas selaku penasihat program menyatakan harapan agar kunjungan ini akan menjadi platform kepada terjalinnya kerjasama yang berterusan di antara PBM dan KPB pada masa akan datang.

ARTIKEL YANG SAMA