Pendedahan peringkat antarabangsa

Pendedahan peringkat antarabangsa

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Persatuan Renang Amatur Brunei (BASA), dengan sokongan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) telah menghantar pasukan Renang Berirama Brunei yang melibatkan dua orang perenang dan seorang pengurus pasukan merangkap jurulatih untuk menyertai Kejohanan Terbuka Renang Berirama Jepun ke-92 yang akan diadakan di Tokyo bermula 29 April hingga 1 Mei ini. Pasukan Brunei diketuai oleh Pengurus Pasukan, Dayang Nur Anna Muin, yang juga jurulatih bagi pasukan itu. Manakala para perenang diwakili oleh Jacqueline Lim dan Dayang Nur Hafizah Ahmad.

Mereka akan bertanding dalam dua acara solo dan satu acara duet pada kejohanan selama tiga hari itu nanti.

Menurut kenyataan BASA, pasukan Brunei akan berdepan dengan pasukan-pasukan renang berirama terkemuka seperti pasukan dari Kanada, Australia, Kazakhstan, Great Britain, Switzerland, Indonesia dan Uzbekistan.

Presiden BASA, Awang Aziz Latip dipetik sebagai berkata, “Ia akan menjadi pendedahan yang baik bagi perenang-perenang kita dan memenangi pingat sudah tentu merupakan satu bonus. Objektif kami ialah untuk menyediakan pendedahan antarabangsa kepada mereka yang kami harap dapat mendidik mereka bagi temasya Sukan SEA 2017 dan kami mahu persediaan dimulakan dari sekarang”.

(Dari kiri) Jacqueline Lim, Dayang Nur Anna Muin dan Dayang Nur Hafizah Ahmad sebelum berlepas ke Tokyo, Jepun.
(Dari kiri) Jacqueline Lim, Dayang Nur Anna Muin dan Dayang Nur Hafizah Ahmad sebelum berlepas ke Tokyo, Jepun.