Pendedahan Snowden jejas firma teknologi AS

Pendedahan Snowden jejas firma teknologi AS

WASHINGTON, 10 Jun (AFP) – Syarikat-syarikat teknologi Amerika Syarikat merasai kesan lebih teruk berbanding yang dijangkakan berikutan pendedahan mengenai program pengawasan yang diterajui Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA), kajian menunjukkan semalam.

Kajian oleh Yayasan Teknologi Maklumat dan Inovasi, badan pemikir berpangkalan di Washington, berkata impaknya akan lebih hebat berbanding anggarannya hampir dua tahun lepas bagi sektor perkomputeran.

Pada 2013, badan pemikir itu menganggarkan bahawa firma perkomputeran Amerika Syarikat mampu kerugian di antara AS$22 bilion dan AS$35 bilion dalam perniagaan luar Negara sepanjang tempoh tiga tahun.

Kini ia kelihatannya mustahil untuk menyatakan kuantiti kerosakan ekonomi kerana keseluruhan sektor sudah terjejas akibat skandal akibat pendedahan dalam dokumen yang dibocorkan oleh bekas kontraktor NSA, Edward Snowden, kata laporan itu.

“Pendedahan ini secara fundamentalnya menjejaskan kepercayaan antarabangsa ke atas syarikat-syarikat teknologi AS serta memberi kesan negatif kepada semua prospek perniagaan di seluruh dunia,” kata laporan tersebut.

Pengarang bersama kajian itu, Daniel Castro berkata impaknya kini menjadi soalan terbuka, dengan skandal NSA sudah pun menjejaskan pelbagai jenis firma teknologi Amerika Syarikat.

Sejak 2013, beliau berkata, “Kami tidak lagi berpaling ke belakang: ia bukan hanya syarikat perkomputeran. Semuanya firma teknologi yang terbabit dengan isu ini,” beliau memberitahu AFP.

“Ia tidak menunjukkan sebarang petanda untuk berhenti.”

Laporan itu berkata para pelanggan luar negara semakin menjauhkan diri daripada syarikat-syarikat AS, dan kerajaan seluruh dunia “menggunakan pengawasan AS sebagai alasan untuk mewujudkan gelombang baru dasar perlindungan.”

ARTIKEL YANG SAMA