Pendedahan terhadap perusahaan intensif

Pendedahan terhadap perusahaan intensif

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Okt – Usahawan-usahawan muda diberikan pendedahan kepada program pembangunan dan perancangan perusahaan yang intensif di mana bukan sahaja mereka mendapat panduan mengenai keusahawanan tetapi juga memperoleh nasihat dan peluang menubuhkan rangkaian keusahawanan melalui penyertaan mereka dalam Bengkel Menjadi Pengurus dan Pemilik Perusahaan Berjaya (BSOM) anjuran LiveWIRE Brunei.

Bengkel yang diadakan di LiveWIRE Brunei, Berakas, pada 17 hingga 20 Oktober itu meliputi pelbagai topik utama dalam bidang keusahawanan termasuk penyelidikan pasaran dan perancangan perniagaan, pengurusan sumber manusia dan kewangan, keselamatan, kesihatan dan alam sekitar serta perbankan, pembiayaan dan pemasaran.

Bengkel empat hari itu mengetengahkan sesi perkongsian dan ceramah daripada usahawan-usahawan muda, berjaya dan terkenal serta penasihat perniagaan yang pakar dalam bidang perusahaan termasuk Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), KPMG, Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP), Bureau Veritas, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), AIA Insurance, WMK Resource Management Services, Pejabat Harta Intelektual Brunei Darussalam (BruIPO), Le Ye Employment Agency, Cynthia Bong, Dean Green dan William Bon.

Dalam salah satu sesi ceramah, Ketua Keselamatan Teknikal dan Penilaian Risiko bagi Bureau Veritas Brunei, Rizan Latif berkata bahawa pengurusan risiko keselamatan dalam sesebuah perusahaan yang baru adalah amat penting di Brunei di mana dengan pelaksanaan Perintah Keselamatan Kesihatan Tempat Kerja pada 2009, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tanpa mengambil kira saiz atau operasi mereka dikehendaki untuk mematuhi keperluan undang-undang berkenaan.

Semasa sesi ceramah itu, beliau turut menyatakan bahawa pemilik-pemilik PKS harus komited dan proaktif dalam mengurangkan risiko kesihatan dan keselamatan bagi perusahaan mereka kepada tahap yang terendah.

Awang Rizan Latif salah seorang penceramah undangan bersama para peserta bengkel BSOM itu.
Awang Rizan Latif salah seorang penceramah undangan bersama para peserta bengkel BSOM itu.

Beliau turut menyatakan harapan bahawa menerusi sesi perkongsian dan ceramah itu, para pemilik PKS akan dapat meningkatkan kesedaran mereka mengenai bahaya kesihatan dan keselamatan yang terdedah kepada operasi seharian perniagaan mereka serta untuk menguruskannya menggunakan pendekatan yang sistematik dan berstruktur untuk mencegah atau mengurangkan kejadian berkenaan.

Sementara itu, Kaunselor Perniagaan Kanan LiveWIRE, Mohd Fadhilullah Tudun Haji Hassan ketika mengulas mengenai bengkel berkenaan, menyatakan ia direka khusus untuk melengkapkan para peserta dengan ilmu pengetahuan untuk mengendalikan penyelidikan dan membangunkan perniagaan yang berdaya tahan mereka sendiri.

Ia juga memberikan peluang dan pendedahan kepada para peserta mengenai cabaran dan isu-isu yang mungkin dihadapi oleh para usahawan baru dan muda serta untuk menggelakkan daripada melakukan kesilapan besar yang mungkin boleh menjejas kejayaan perusahaan mereka.

Manakala itu, peserta BSOM iaitu Dayangku Farhana yang merupakan graduan dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) berkata, bengkel itu memberikan para peserta peluang dan pendedahan kepada pelbagai sektor yang berpotensi di Brunei di mana penceramah undangan mengongsi pengalaman mereka dalam bidang-bidang yang berbeza.

Di samping Bengkel BSOM, LiveWIRE Brunei juga akan menyertai acara Hari Terbuka Keusahawanan anjuran Darussalam Enterprise (DARE) esok (19 Oktober) di Dewan Utama, Kompleks Kemasyarakatan, Pekan Bangar.

Selain daripada itu, LiveWIRE Brunei juga akan melaksanakan pelbagai kegiatan dan kursus-kursus termasuk Bengkel Idea Bernas pada 6 dan 7 Disember, manakala Kem Kepimpinan pada 25 hingga 27 November.

LiveWIRE Brunei merupakan sebahagian daripada organisasi antarabangsa yang beroperasi di lebih 23 buah negara di seluruh dunia. Ia juga merupakan program pembangunan kemasyarakatan yang ditaja sepenuhnya oleh BSP di mana ia adalah sebagai usaha berterusan BSP dalam menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan lagi usaha kepada menyokong perkembangan keusahawanan di Brunei bagi memastikan pembangunan ekonomi negara jangka panjang yang mampan.

LiveWIRE Brunei ditubuhkan pada 2001 dengan matlamat untuk memperkenalkan, menggalakkan dan membantu golongan muda Brunei untuk menceburi bidang keusahawanan dengan memberikan mereka akses kepada sumber dan nasihat mengenai memulakan perniagaan sebagai pilihan kerjaya serta menyediakan program mentor bagi usahawan muda untuk mengembangkan kemahiran yang diperlukan untuk menguruskan sebuah perniagaan baru.