Pendedahan te...

Pendedahan terhadap tradisi Iban

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 April – Seramai 25 orang pelajar Tahun 12 International Baccalaureate (IB) dari Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS), baru-baru ini, telah bermalam di Perkampungan Eko Sumbiling di Daerah Temburong.

Lawatan berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif komponen Teori Pengetahuan (ToK) kursus IB, dengan matlamat utama mendedahkan para pelajar berkenaan kepada pengetahuan asli dan tradisi budaya masyarakat Iban, menurut kenyataan yang dikeluarkan JIS. Bagi sebilangan pelajar, ia merupakan lawatan pertama mereka ke Daerah Temburong.

Ketibaan mereka telah dialu-alukan oleh pemandu pelancong dari Perkampungan Eko Sumbiling dan dalam lawatan itu, para pelajar telah mendengarkan taklimat ringkas mengenai sejarah Daerah Temburong termasuk tugu peringatan bagi Pemberontakan Brunei Disember 1962.

Rombongan pelajar berkenaan kemudian berkunjung ke tamu di Bangar di mana mereka berpeluang mempelajari mengenai 21 spesies beras tempatan berlainan jenis yang ditanam di seluruh daerah berkenaan.

Pelajar JIS mencuba pakaian tradisi puak Iban.
Pelajar JIS mencuba pakaian tradisi puak Iban.

Di kampung berkenaan, para pelajar menikmati hidangan ringan sebelum memulakan pendakian sejauh 10 km di Taman Negara Ulu Temburong, di mana enam pemandu pelancong turut berkongsi pengetahuan mengenai hutan hujan.

Aktiviti-aktiviti lain termasuk melukis batu dan memancing, yang mana bagi kebanyakan pelajar, pengalaman paling mencabar adalah memancing dengan kayu palma yang diikat dengan tali pancing dan menggali cacing untuk dijadikan umpan yang mana mereka anggap hampir sama kesukarannya seperti tanpa memiliki telefon bimbit dan Internet sepanjang lawatan.

Lawatan ke Perkampungan Eko Sumbiling itu memberi peluang kepada para pelajar untuk bertemu dan berbual dengan Apai, ketua rumah panjang dan wanita berusia 103 tahun yang paling menarik mereka temui digelar Nenek.

Perbualan mereka bukan sahaja merangkumi mengenai kebudayaan asli tetapi juga topik-topik kontroversi seperti teknologi, antropologi dan kepentingan tatu dalam budaya Iban.

ARTIKEL YANG SAMA