Pendekatan baru perlu dilaksana

Pendekatan baru perlu dilaksana

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Persekitaran perniagaan global pada masa ini sedang melalui perubahan pesat serta sukar untuk diramal di mana pasaran digital, model perniagaan baru, permintaan pelanggan yang meningkat serta tenaga kerja yang mempunyai harapan berbeza merupakan antara faktor yang menyumbang kepada kesukaran mencapai matlamat untuk berada di hadapan saingan mereka.

Perniagaan di Brunei juga tidak terkecuali daripada faktor itu terutama dengan sebahagian besar perusahaan tempatan sedang membuat persiapan untuk memasuki pasaran ASEAN dan akses kepada kira-kira 630 juta pelanggan berpotensi.

Sehubungan dengan itu, Asia Inc Forum dan Human Capital Group Asia Ltd dengan kerjasama Bank Baiduri dan Brunei Press Sdn Bhd, menganjurkan Forum Leading Business in Asia di Hotel Raddisson, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Perasmian forum disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Dato Paduka Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah. Turut hadir Ahli Lembaga Bank Baiduri, Dr Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Fataah; Pengerusi Asia Inc Forum, Dato Paduka Timothy Ong; Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Pierre Imhof, para penceramah forum serta para peserta forum berkenaan.

Pierre Imhof dalam ucapannya berkata, lebih 90 peratus perusahaan yang ada di Brunei merupakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di mana mereka tidak terkecuali daripada terjejas akibat keadaan ekonomi global pada masa ini.

Dato Paduka Dr Haji Mohd Amin Liew dan Dr YAM Pengiran Muda Abdul Fataah semasa menghadiri majlis itu.
Dato Paduka Dr Haji Mohd Amin Liew dan Dr YAM Pengiran Muda Abdul Fataah semasa menghadiri majlis itu.
Pierre Imhof menyampaikan ucapan alu-aluannya.
Pierre Imhof menyampaikan ucapan alu-aluannya.

Oleh itu, pendekatan baru harus dilaksanakan dalam merangsang pertumbuhan dalam dunia pasaran digital dan pasaran yang semakin mencabar.

Menurut beliau, pendekatan yang lebih dinamik, akan membantu PKS dan juga perusahaan tempatan bukan sahaja untuk terus bertahan tetapi membolehkan mereka untuk lebih berdaya saing apabila keadaan menjadi semakin baik.

Dalam hubungan itu, Pierre berkata organisasi yang mampu untuk melalui transformasi bagi membangunkan budaya prestasi yang tinggi amat penting supaya dapat bertindak kepada perubahan alam sekitar dan situasi serta supaya boleh mencapai tahap daya saing yang lebih tinggi.

Beliau yakin forum dua hari itu amat bertepatan kerana ia meliputi pelbagai elemen utama perniagaan dan organisasi yang diperlukan bagi terus maju dalam keadaan pasaran yang semakin rumit dan tidak menentu.

Forum menumpukan kepada bidang-bidang kepimpinan, transformasi organisasi, proses kualiti dan transformasi digital dibahagikan kepada dua bahagian iaitu pada hari pertama, ia mengandungi sesi seminar manakala pada hari kedua, ia menumpukan kepada siri bengkel mini yang memberikan liputan lebih meluas kepada penyelesaian isu-isu yang dibangkitkan.

Seminar-seminar yang menumpukan kepada ilmu pengetahuan dan pengalaman perniagaan yang praktikal disampaikan oleh penceramah yang berpengalaman dalam bidang masing-masing.

Dalam seminar itu, Ketua Pegawai Eksekutif Human Capital Group Asia Ltd, Douglas Dean membincangkan mengenai bidang-bidang utama yang perlu dimiliki oleh para pemimpin supaya mereka mampu terus maju dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

Manakala Konsultan Utama dan Rakan Kongsi Human Capital Group Asia Ltd, Rohn Rajen pula memberi tumpuan menjana transformasi organisasi dan budaya korporat melalui penglibatan kakitangan.

Pengarah Urusan Strasys Solutions Sdn Bhd, Dr Suresh Kumar Krishan, dalam ceramahnya menekankan pentingnya untuk perusahaan mempunyai atau melaksanakan sistem kualiti termasuk mempunyai persijilan standard ISO untuk kekal kompetitif dalam pasaran ASEAN.

Sementara itu, Ketua Pegawai Digital Human Capital Group Asia Ltd, Tim Haynes memberikan gambaran mengenai transformasi digital yang sedang dilalui oleh pasaran global dan bagaimana perusahaan perlu melaksanakan perubahan supaya mampu bergerak selaras dengan transformasi digital.