Pendekatan berbeza dalam perniagaan

Pendekatan berbeza dalam perniagaan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Julai – Perniagaan tidak hanya harus berpandukan kepada memperoleh keuntungan semata-mata tetapi perniagaan atau perusahaan juga boleh menyumbang secara positif kepada perkembangan masyarakat dan memainkan peranan dalam menangani masalah sosial.

Menerusi keusahawanan sosial, bukan sahaja seorang usahawan mampu untuk memajukan perusahaannya tetapi mereka juga mampu untuk meneroka pendekatan perniagaan yang baru dan mapan dengan melibatkan penyertaan masyarakat serta membantu dalam pembangunan masyarakat seperti golongan belia.

Keusahawanan sosial bukan sahaja melihat kepada kaedah untuk mengembangkan perniagaan dan meraih keuntungan semata-mata tetapi juga melihat kepada pelbagai pendekatan untuk melibatkan penyertaan masyarakat dan membantu membangunkan masyarakat setempat seperti golongan ibu tunggal, belia yang menganggur dan membantu belia untuk mendapatkan pekerjaan bagi membiayai pendidikan mereka.

Model dan pendekatan yang digunakan oleh usahawan-usahawan sosial itu, boleh diguna pakai dan dipraktikkan di Brunei di mana perniagaan boleh menyumbang khidmat kembali kepada masyarakat dan pada masa yang sama, melakukan perniagaannya secara mapan, jelas Ketua Pegawai Pemasaran Nurture Enterprise, Jodie S.Y.Lim, ketika mengongsi pengalamannya menyertai Seminar Kepimpinan Wanita Changing Faces 2016 yang berlangsung di Honolulu dan Kona, Hawaii, baru-baru ini.

Jodie berkata, penyertaannya dalam seminar itu bersama-sama 14 orang usahawan wanita dari negara-negara rantau Asia Pasifik banyak membuka mindanya kepada pergerakan keusahawanan sosial di mana bukan sahaja usahawan sosial melaksanakan pelan perniagaan mereka untuk meraih keuntungan tetapi mereka juga melakukan perniagaan mereka secara mapan dan membantu menangani masalah sosial di komuniti masing-masing.

Jodie (kiri) bersama Pegawai Perhubungan Awam, Kedutaan Amerika Syarikat di Negara Brunei Darussalam, Catherine Muller semasa pertemuan bersama pihak media.
Jodie (kiri) bersama Pegawai Perhubungan Awam, Kedutaan Amerika Syarikat di Negara Brunei Darussalam, Catherine Muller semasa pertemuan bersama pihak media.

Menurutnya, seminar selama 12 hari yang bermula 19 Jun hingga 2 Julai dengan membawa tema ‘Wanita sebagai usahawan dan inovator’, memberikan penumpuan kepada peranan penting yang dimainkan oleh inovasi dan keusahawanan dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, penjanaan pekerjaan serta pengukuhan komuniti.

Katanya, semasa penyertaannya dalam seminar itu, beliau bersama peserta-peserta lain diberikan pendedahan bukan sahaja melalui sesi perbincangan tetapi melalui lawatan ke perusahaan-perusahaan keusahawanan sosial serta pertemuan dengan pakar, usahawan dan penggubal dasar di Hawaii.

Menerusi pertemuan, lawatan dan perbincangan itu, mereka berpeluang untuk mengembangkan lagi ilmu pengetahuan mengenai keusahawanan, cabaran, peluang dan juga kaedah untuk melibatkan penyertaan masyarakat dalam perusahaan mereka serta pada masa yang sama menjana pembangunan masyarakat setempat.

Pengalaman yang diperoleh sepanjang seminar itu, tambah beliau, banyak membantunya memahami erti sebenar berkhidmat untuk masyarakat di mana golongan usahawan mampu membantu komuniti mereka menangani masalah yang dihadapi dan menjana perubahan yang positif.

Menurutnya lagi, terdapat syarikat atau perniagaan melaksanakan tanggungjawab sosial korporat mereka sebagai satu entiti yang berbeza daripada amalan perniagaan mereka, tetapi menerusi keusahawanan sosial, setiap peringkat perniagaan itu, tanggungjawab sosial itu adalah selari dengan pembangunan perniagaan mapan di mana perusahaan itu berkembang bersama komuniti atau masyarakat setempat.

ARTIKEL YANG SAMA