Pendekatan Brexit erat hubungan UK-ASEAN

Pendekatan Brexit erat hubungan UK-ASEAN

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Keputusan United Kingdom (UK) untuk menarik diri daripada Kesatuan Eropah (EU) – Brexit – menunjukkan usaha perlahan-lahan ASEAN untuk mencapai penyepaduan serantau adalah tepat berbanding penyepaduan secara pesat tidak akan berkekalan, kata Pengerusi CIMB Group Datuk Seri Nazir Razak.

“Brexit adalah sesuatu yang tidak menarik kepada kita yang memperjuangkan penyepaduan ASEAN, dan menjadi iktibar bahawa ASEAN sewajarnya bergerak dalam usaha untuk majoriti penduduk ASEAN.

“Ia (Brexit) juga merupakan satu pengukuhan bagi tumpuan teguh ASEAN kepada perdagangan dan pelaburan di samping mengelak daripada (penggunaan) mata wang tunggal dan langkah yang mempunyai kesan politik,” katanya dalam satu temu bual dengan Asia House, organisasi pan-Asia terkemuka di UK.

Visi Komuniti ASEAN, seperti diperincikan dalam Piagam ASEAN 2007, adalah untuk mewujudkan ekonomi bersepadu dan bersatu bagi keseluruhan ASEAN dengan aliran bebas perdagangan, barangan, perkhidmatan serta pekerja mahir dan pelaburan.

Bagaimanapun, apabila Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dibentuk pada akhir 2015, tidak semua langkah tersebut dilaksanakan.

Datuk Seri Nazir Razak berkata pendekatan Brexit terhadap ASEAN untuk mencapai penyepaduan serantau adalah tepat berbanding penyepaduan secara pesat yang tidak akan berkekalan. – Bernama
Datuk Seri Nazir Razak berkata pendekatan Brexit terhadap ASEAN untuk mencapai penyepaduan serantau adalah tepat berbanding penyepaduan secara pesat yang tidak akan berkekalan. – Bernama

Pelan Tindakan Strategik 2025, dipersetujui pada 2015 di Malaysia, bermatlamat mencapai visi AEC menjelang 2025 dengan kesemua 10 negara anggota disepadukan secara ekonomi dan bersepadu penuhnya dalam ekonomi global.

Ia bagaimanapun menamatkan perbincangan mengenai mata wang tunggal.

Nazir turut berkata kekurangan kejelasan mengenai kemungkinan hasil rundingan Brexit menunjukkan ia sukar untuk membuat sebarang jangkaan

“(Bagi) negara yang telah melabur di UK, (kita) sudah tentu merasai keperitan berikutan penyusutan mendadak (pound) sterling dan penilaian aset secara amnya.

“Kita berharap, ia adalah sementara dan pegangan bagi jangka panjang akan membuktikan ia adalah satu keputusan tepat,” katanya.

Senada dengan tokoh perniagaan dan kerajaan Asia terkemuka lain, Nazir turut yakin bahawa Brexit akan membawa kepada pengukuhan hubungan perdagangan dan pelaburan dengan Asia.

“Kita menjangkakan UK akan segera menunjukkan minat mendalam untuk menjalin hubungan lebih erat dengan negara-negara lain di dunia, dan boleh memberi peluang kepada kita di Asia, terutamanya negara seperti Malaysia yang mengekalkan hubungan sosio-ekonomi kukuh,” katanya. – Bernama