Pendekatan KKC perlu dikaji untuk dipertingkatkan

Pendekatan KKC perlu dikaji untuk dipertingkatkan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Pendekatan dan peningkatan latihan membabitkan Program Kumpulan Kerja Cemerlang (KKC) perlu dikaji semula dalam usaha untuk memaksimumkan penggunaannya.

Oleh sebab ilmu dan kemahiran mengenai KKC merupakan keperluan utama bagi mendapatkan manfaatnya, latihan bagi ahli kumpulan yang terhad bilangannya untuk keperluan konvensyen perlu ditambah dengan latihan berorientasikan keperluan untuk semua pihak.

Sehubungan itu, latihan untuk semua terutama bagi pegawai, perlu menepati format dan perisian supaya tidak memakan masa dan pendekatan secara ‘kajian sendiri’ merupakan satu pendekatan yang amat sesuai.

Saranan itu dibuat oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Abdul Wahab bin Juned pada Majlis Konvensyen Kumpulan Kerja Cemerlang Peringkat Kebangsaan ke-18, 2015 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

Katanya, ekoran mengenal pasti bahawa usaha yang dilaksanakan terhadap KKC kerap kali melalui kitaran yang biasa dan hampir sama, antara permasalahan yang dikenal pasti ialah penglibatan pegawai atasan dan pihak pengurusan yang tidak cukup mantap serta usaha membudayakan KKC yang lemah.

Dato Paduka Haji Abdul Wahab menyampaikan hadiah kepada Kumpulan ATP HSSE dari Kementerian Pendidikan.
Dato Paduka Haji Abdul Wahab menyampaikan hadiah kepada Kumpulan ATP HSSE dari Kementerian Pendidikan.

“Jika diamati, usaha kita dalam KKC terlalu akademik dan jauh tersisih daripada kehidupan alam pekerjaan seharian, tetapi kita mengakui bahawa usaha dalam bidang ini sangat penting dan tidak boleh diperkecil-kecilkan kerana impaknya ke atas ahli kumpulan khususnya dari segi latihan adalah positif,” ujarnya.

Namun, yang mengecewakan ialah latihan dan usaha pembudayaannya tidak diberikan ‘kesinambungan bertali arus’ dalam alam pekerjaan seharian, sementara itu, penghayatan dan pembudayaannya sangat rendah atau langsung tidak ada, sekali gus latihan dan konvensyen tinggal begitu saja sebagai kegiatan pejabat dan nilainya tidak meresap dalam budaya kerja.

Beliau seterusnya menegaskan bahawa perhatian harus diberikan kepada langkah-langkah untuk memasukkan budaya KKC dalam arus perdana alam pekerjaan seharian yang sebenar dalam perkhidmatan awam.

Menurutnya, secara amnya kaedah itu membantu untuk menyelesaikan masalah secara bersistem yang mementingkan maklumat empirik dan cukup komprehensif yang mana pengguna sistem diajar untuk membuat perundingan dan menganalisis isu-isu dan seterusnya membuat perakuan masalah mengikut keutamaan untuk diselesaikan.

Sebanyak 10 kumpulan daripada enam jabatan yang mewakili lima kementerian telah membentangkan projek mereka yang menjurus dalam kategori seperti pembaikan proses, perkhidmatan pelanggan, penjimatan kos dan masa, perubahan budaya kerja dan organisasi serta produktiviti dan kualiti.

Tujuh kumpulan telah membuat pembentangan projek KKC pada sesi pagi manakala tiga kumpulan membuat pembentangan pada sesi petang konvensyen sehari itu.

Agensi yang menerima Anugerah Khas Jabatan aktif bagi KKC ialah Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan, manakala Anugerah Fasilitator Terbaik disandang oleh Awang Muhammad Ali bin Hassan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Anugerah Persembahan Terbaik diraih oleh Kumpulan ATP HSSE dari Kementerian Pendidikan.

Keputusan Konvensyen KKC Peringkat Kebangsaan ke-18 akan diumumkan semasa Majlis Sambutan Hari Perkhidmatan Awam ke-22 yang akan diadakan serentak dengan majlis penyampaian hadiah bagi kumpulan yang menyertai konvensyen KKC bagi tahun ini.

ARTIKEL YANG SAMA