Pendekatan ‘politik kesejahteraan’ Adenan tambat hati rakyat

Pendekatan ‘politik kesejahteraan’ Adenan tambat hati rakyat

PUTRAJAYA, 8 April (Bernama) – Pendekatan ‘politik kesejahteraan’ yang dipopularkan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem merupakan kelebihan yang menambat hati rakyat untuk Barisan Nasional (BN) meneruskan kesinambungan penguasaan di negeri itu, menurut penganalisis politik.

Mereka berpendapat kepimpinan dan pendekatan Adenan itu sejak dua tahun lalu dilihat mampu meningkatkan lagi sokongan rakyat Sarawak kepada BN dalam pilihan raya negeri ke-11 akan datang.

Prof Madya Stanley Bye Kadam Kia daripada Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berkata pendekatan itu jauh berbeza berbanding kepimpinan terdahulu Tun Abdul Taib Mahmud yang lebih berteraskan kepada ‘politik pembangunan’, melibatkan perkara asas seperti pembangunan sekolah dan jalan raya.

“Tetapi, pelaksanaan dasar baharu seperti keputusan menghapuskan tol di semua jambatan di negeri itu, cukai pintu dikurangkan dan cukai tanah dihapuskan menjadi strategi politik baharu menambat hati dan minda pengundi.

“Ini akan memberi anjakan serta harapan baharu untuk masyarakat Sarawak mengundi dan menyokong kepimpinan Adenan,” kata penganalisis politik itu kepada pemberita selepas sesi perbincangan meja bulat bertajuk ‘Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11’, di sini hari ini.

Perbincangan meja bulat anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) bagi mengupas beberapa isu, antaranya pola sokongan dan pengundian semasa, mengkaji trend semasa pengundi dan keupayaan parti-parti bertanding mengekalkan kerusi di kawasan masing-masing.

Stanley merupakan seorang daripada tiga ahli panel dalam sesi pertama membincangkan tajuk ‘Kepimpinan dan Dasar Adenan Satem di Sarawak: Isu dan Cabaran’.