Pendekatan sepadu jadikan Malaysia MIFC

Pendekatan sepadu jadikan Malaysia MIFC

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) – Kerajaan menggunakan pendekatan efektif dan efisien yang berstruktur serta bersepadu bagi membangunkan Malaysia sebagai sebuah Pusat Kewangan Islam Antarabangsa (MIFC).

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong berkata pendekatan itu adalah hasil kerjasama erat dengan pelbagai kementerian, agensi, sektor swasta serta pihak berkepentingan lain menerusi Jawatankuasa Eksekutif MIFC atau Exco MIFC yang dipengerusikan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM). “Exco MIFC bertindak sebagai badan penyelaras tunggal dan bertanggungjawab untuk menyediakan hala tuju industri dan memastikan keberkesanan serta kecekapan dalam pelaksanaan inisiatif secara kolektif.

“Ia juga mengkaji dasar-dasar sedia ada serta menjajarkan peranan dan tanggungjawab kerajaan dan industri dalam pembangunan inisiatif MIFC,” katanya pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang bertanyakan sama ada Kementerian Kewangan mempunyai perancangan untuk mengembangkan sistem kewangan Islam di Malaysia dengan mewujudkan pusat kewangan Islam antarabangsa mengguna pakai pendekatan ‘pusat setempat’ seperti yang dilaksanakan di negara luar seperti Qatar, Bahrain, Britain dan Singapura.

Chua berkata perancangan dan isu strategik akan dibincangkan Exco MIFC bagi melicinkan pentadbiran dan pelaksanaan inisiatif MIFC.

Beliau berkata Exco MIFC juga diperkukuh dengan penubuhan Unit Promosi MIFC (MPU) di BNM untuk melaksanakan promosi MIFC yang menyeluruh dan berstrategik.

ARTIKEL YANG SAMA