Pendekatan terhadap Dikir Marhaban di Brunei

Pendekatan terhadap Dikir Marhaban di Brunei

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Mac – Sebagai pengisian bagi Majlis Ihya Al-Tarbiyyah Al-Diniyyah ke-9, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) hari ini menganjurkan ceramah yang bertajuk ‘Pengenalan Kepada Dikir Marhaban dan Pengalamannya di Brunei Darussalam.’

Ceramah yang berlangsung di Dewan Ta’lim, KUPU SB dan disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim.

Turut hadir ialah Pemangku Ra’es, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar dan Penolong Ra’es, Dr. Abang Haji Hadzmin bin Abang Haji Taha.

Dr. Abang Haji Hadzmin dalam ucapannya berkata, majlis tersebut memberikan peluang bagi KUPU SB untuk dijadikan ladang amal yang diisikan dengan usaha membuat perubahan positif untuk merubah kepada memahami dikir-dikir.

Yang Berhormat Pehin Dr. Ustaz Haji Awang Yahya semasa menyampaikan ceramah bersama Dr. Abang Haji Hadzmin.
Yang Berhormat Pehin Dr. Ustaz Haji Awang Yahya semasa menyampaikan ceramah bersama Dr. Abang Haji Hadzmin.
Antara yang menghadiri ceramah tersebut.
Antara yang menghadiri ceramah tersebut.

Ia diharap dapat meningkatkan lagi mutu pendidikan KUPUSB khasnya dan di Negara Brunei Darussalam amnya.

Majlis Ihya Al-Tarbiyyah Al-Diniyyah merupakan satu program KUPUSB, bertujuan membahaskan hal ehwal pendidikan Islam semasa dan ia berbentuk kuliah, ceramah atau forum.

Bagi tahun ini, majlis ini diadakan dalam bentuk bengkel selama dua hari bermula hari ini sehingga esok. Tajuk bengkel bagi tahun ini ialah ‘Bengkel Memahami Dikir Marhaban’ dengan tema ‘Memahami Dikir Marhaban Mengukuhkan Penghayatan Selawat’.

Tahun ini, bengkel telah disertai oleh 60 orang yang terdiri daripada pensyarah dan pelajar KUPU SB, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Jabatan Pengajian Islam, Universiti Brunei Darussalam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Universiti Teknologi Brunei dan Politeknik Brunei.

Yang Berhormat Pehin semasa menyampaikan ceramahnya antara lain menyentuh mengenai dengan jenis-jenis lagu dikir yang ada, sejarah-sejarah surat dikir ditulis dan dicetak, cara-cara orang Brunei menghafal dikir dan banyak lagi.

Beliau turut mencadangkan agar pihak KUPUSB akan dapat memperkembangkan lagi lagu-lagu dikir untuk diperkenalkan oleh para pelajar untuk membantu mereka memahami dan mempelajari dikir.

ARTIKEL YANG SAMA