Pendekatan tersendiri tuntut hak negeri

Pendekatan tersendiri tuntut hak negeri

KOTA KINABALU, 9 Ogos – Kerajaan negeri Sabah mempunyai pendekatan tersendiri serta terbukti berkesan dalam menuntut haknya daripada Kerajaan Pusat seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata apa yang penting bagi kerajaan negeri ialah pendekatan yang digunakan selama ini jelas berjaya membawa banyak kebaikan kepada rakyat dan negeri Sabah berbanding pendekatan ‘bising-bising’ atau publisiti yang belum tentu berhasil. “Kita mengambil cara yang mungkin tidak perlu kita terlalu uar-uarkan pendekatan itu. Kalau boleh, berbincang secara lebih berkesan dalam mengemukakan cadangan,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Wilfred Bumburing (Bebas-Tamparuli) semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Sebagai contoh kata Musa, dalam soal cari gali minyak di bahagian darat Sabah, kerajaan negeri melalui pendekatan tersendirinya itu berhasil memperoleh 30 peratus ekuiti atau kepentingan dalam penerokaan minyak itu berbanding tiada sama sekali ekuiti sebelum ini.

Menurut Musa kerajaan negeri memberitahu Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bahawa sekiranya penerokaan minyak berkenaan dibuat di kawasan laut dalam yang memerlukan kos sangat tinggi maka kerajaan negeri tidak mempunyai masalah untuk menyerahkan eksplorasi itu kepada syarikat berkenaan.

Bagaimanapun katanya sekiranya penerokaan itu adalah jenis cari gali di darat maka itu adalah hak Sabah dan kerajaan negeri mahu supaya ia diberi kepentingan atau ekuiti sewajarnya dan jelas Sabah telah memperoleh 30 peratus ekuiti dalam eksplorasi seperti itu.

Menurut Musa walaupun pada mulanya kepentingan eksplorasi darat berkenaan telah diberikan kepada syarikat gergasi namun atas cadangan kerajaan negeri, disokong dengan fakta-fakta kukuh, semua pihak termasuk Petronas bersetuju dengan cadangan kerajaan Sabah.

“Yang lebih baik, yang lebih manis ia disokong oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak). Sekarang ini, daripada kosong, kini kita mempunyai 30 peratus ekuiti dalam on-shore exploration (eksplorasi darat). Ini tidak pernah berlaku. Inilah yang saya katakan tidak payahlah buat bising, seperti (anjing) menyalak bukit,” katanya.

Terdahulu, Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Teo Chee Kang, ketika menjawab soalan yang sama berkata Kerajaan Negeri Sabah sememangnya mengambil pendirian tegas dalam hal menuntut hak Sabah dan mempertahankan hak Sabah sedia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai contoh, katanya kerajaan negeri tidak bersetuju dengan cadangan pihak Kerajaan Persekutuan untuk memanjangkan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 iaitu Akta 672 ke Sabah untuk menjalankan kuasa dalam hal pengutipan sisa pepejal di negeri ini. – Bernama