Penderma darah wira negara

Penderma darah wira negara

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jun – Setiap hari, orang dewasa, kanak-kanak dan anak damit menjalani pembedahan dan rawatan perubatan yang memerlukan pemindahan darah yang mana prosedur ini memerlukan darah yang didermakan oleh orang ramai.

Satu derma darah boleh menyelamatkan tiga nyawa lain, malah menderma darah juga membolehkan orang yang sihat seperti kita untuk membantu orang lain yang tidak bernasib baik.

Sehubungan itu, sempena Hari Penderma Darah Sedunia ke-13 yang jatuh pada 14 Jun, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi menyampaikan penghargaan dan memberi penghormatan kepada lelaki dan wanita di Negara Brunei Darussalam yang telah menderma darah.

Dalam perutusan sempena Hari Penderma Darah itu, Yang Berhormat Dato memberitahu bahawa pada tahun 2015, seramai 15,183 orang penderma darah telah mendaftar di Pusat Pendermaan Darah termasuklah 3,160 orang penderma darah yang baru.

“Dalam usaha untuk memastikan bahawa bekalan ini masih mencukupi, selamat dan mampan, kami menjemput lebih ramai penderma darah untuk tampil ke hadapan.”

Beliau seterusnya berkata, Kementerian Kesihatan bersama dengan rakan kongsi dari agensi-agensi jabatan kerajaan, institusi-institusi pendidikan, pasukan-pasukan beruniform, pihak swasta serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) akan terus bekerjasama menyelaras dan mengendalikan kempen-kempen menderma darah di semua daerah di negara ini.

Menurut beliau, mereka mahu mewujudkan banyak peluang dan ruang yang mesra untuk penderma darah baru untuk turut serta mengambil bahagian dalam usaha yang berfaedah ini.

“Kami juga menjamin bahawa sumbangan awda tidak akan sia-sia, Pusat Pendermaan Darah dan simpanan darah kami di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha yang baru diubahsuai akan memastikan bahawa derma darah awda diperiksa dan diuruskan selaras dengan piawaian antarabangsa yang tertinggi.”

Menyentuh mengenai Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia, Yang Berhormat Dato berkata, tema pada tahun ini adalah ‘Darah Menghubungkan Kita Semua’ yang menekankan kepentingan untuk menderma darah dengan kerap oleh mereka yang berkebolehan.

Menurut beliau, kesihatan adalah tanggungjawab semua dan sebagai penderma darah, kita boleh memainkan peranan dalam memastikan bahawa mereka yang paling memerlukan penjagaan kesihatan, sesetengah daripada mereka mungkin terdiri daripada keluarga kita dan orang yang disayangi, dapat meneruskan kehidupan yang panjang dan memuaskan.

Tidak dinafikan, ujar beliau, objektif global Hari Penderma Darah Sedunia ini adalah berkaitan dengan keutamaan strategik Kementerian Kesihatan iaitu untuk menerapkan agenda bahawa kesihatan adalah tanggungjawab semua (health is everyone’s business), memberi perkhidmatan cemerlang serta mencegah dan mengawal penyakit-penyakit tidak berjangkit.

“Pada kesempatan ini, saya juga ingin merakamkan penghargaan dan tahniah kepada semua penderma darah yang dianggap sebagai wira-wira yang telah berjasa kepada negara untuk membantu menyelamatkan banyak nyawa yang memerlukan. Saya berdoa semoga pengorbanan yang diberikan akan mendapat keberkatan, rahmat, keredaan dan ganjaran yang sebaik-baiknya daripada Allah Subhanahu Wata’ala.”

ARTIKEL YANG SAMA